akademidebat.com buletin

   

| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam |

 

 

Debat Alam Sekitar 2006: Berburu ke padang datar, dapat rusa berbelang kaki

Oleh:   Mohd Faizi Bin Che Abu

Koresponden Kepulauan Borneo

Bahang Debat Alam Sekitar (DAS) semakin terasa di kalangan pendebat Institus Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) Malaysia. Semestinya pertandingan kali memberikan satu suasana baru kepada Juara bertahan dan pasukan lain. Suasana baru yang di maksudkan ialah “peralihan dominasi” dalam dunia debat. 

Sejarah membuktikan bahawa Pasukan UIAM seringkali membawa igauan ngeri setiap kali menyertai pertandingan. Inilah kelebihan mereka setiap kali bertandang atau menganjurkan pertandingan. Separuh dari perlawanan sudah di menangi sekalipun Perdana Menteri belum memulakan hujahnya. Semuanya angkara moral mereka yang terlalu angkuh untuk mengiktiraf kehebatan pasukan lawan. Moral mereka juga terlalu ampuh untuk di beri tekanan. Moral mereka selalunya cukup bersedia dengan kata-kata pedas kerana mereka telah lali dengan keganasan panel kejurulatihan ketika “sparing”, mereka juga sudah biasa menerima tekanan bukan sahaja mental malahan fizikal tubuh badan mereka ketika latihan. Bab kata-kata pedas usah di tanya, selain kata keji dan hina diri sudah menjadi makanan ruji pasukan ini, kalau hendak  di bukukan sudah berjilid-jilid agaknya koleksi pasukan lagenda ini. Semua ini di lakukan satu ketika dahulu bagi memastikan keutuhan semangat dan tekanan ketika hari pertandingan menjelma. Kini ianya tinggal sejarah. 

Realiti hari ini menyaksikan pasukan UIAM selaku Juara Bertahan DAS 2005 sudah semakin kehilangan taringnya. Sila lihat pencapaian debat UIAM sejak DAS 2005. Nama-nama yang di turunkan dalam pertandingan debat Utama juga seringkali bertukar ganti. Terkadang kita gagal mencerap rasional disebalik pertukaran pendebat yang tidak mempunyai apa-apa keistimewaan. Barangkali memberi pendedahan baru kepada semua orang sekalipun risikonya terlalu besar. Strategi yang pada dasarnya nampak bagus sekalipun hanya Suku Akhir yang menjadi matlamatnya. Bak kata orang, lain guru lain cara. Lain orang lain acuannya. Cuma harapnya jangan sampai kita “Berburu Ke Padang Datar, Dapat Rusa Berbelang Kaki, Berguru Kepalang Ajar, Bagai Bunga Kembang Tak Jadi”. 

Realiti hari ini juga memperlihatkan pentas Akhir perdebatan di kuasai oleh IPTA yang lain, pasukan UIAM kini boleh menyertai pasukan sorak dan Penonton dalam tiga Kejohanan Debat terakhir pada musim ini. Ini menunjukan peningkatan pasukan debat yang lain sedang pasukan lagenda berzaman mula gelap di telan masa dan keadaan. Entah di mana silapnya, pencak silat Pasukan UIAM seperti dapat di duga, buah silat mereka acapkali dapat di matikan, tari pendekar mereka bagaikan sumbang seribu langkah. Yang anehnya, permainan kalaripayat lawan bagaikan seni asing untuk mereka layani.  

DAS ialah pertandingan debat yang memerlukan pendekatan yang bijak dalam erti kata lain tidak menidakkan sumbangan masyarakat dalam menjaga Alam Sekitar. Unjuran hujah perlulah di olah supaya kita tidak menunding jari kepada pihak tertentu sebaliknya lebih merupakan satu pembawakan kesedaran di kalangan pendebat dan mereka yang menontonnya. Harus di ingat, setiap fakta bukanlah untuk di lontarkan sebagai halwa telinga semata-mata. Satu fakta yang di urai rapi berpaksikan kepada landasan perdebatan adalah lebih baik daripada puluhan fakta tanpa ada arah dan tujuan. 

Istimewanya DAS ini ialah debat terbukanya. Seringkali pihak kerajaan dan pembangkang tersasar dalam melayari konteks debat terbuka. Ianya bukanlah bertujuan untuk mengulang kembali pendirian pasukan mahupun hujah substantif. Sebaliknya ianya adalah peluang untuk mematikan hujah-hujah konsep pihak lawan. Serangan awal di awal debat terbuka terhadap konsep penghujahan pihak lawan selalunya membuahkan hasil kerana pihak lawan terpaksa menjawab isu yang di timbulkan. Paling menarik, kekangan masa yang ada akan mendorongkan lawan memberi jawapan yang menjerat dalam usaha mempertahankan kes yang di bawa. Pertahanan yang terbaik adalah dengan menyerang.  

Alhamdulilah, hari ini semua bekas para pendebat institusi pengajian tinggi awam tidak terus melarikan diri. Seni dan pengalaman yang di timba di curahkan pula kepada generasi baru. Kepada semua pasukan DAS, selamat menjalani sistem latihan masing-masing, saya ucapkan Kepada semua jurulatih pasukan debat juga saya sarankan, tunaikan dan tumpukan amanah tersebut kepada pasukan anda, usahlah di kejar habuan picisan dari sekolah-sekolah hanya yang memanggil anda hanya kerana pangkat anda seorang jurulatih Pasukan Universiti. Keikhlasan yang tuan-tuan tunjukan akan menjadi bukti pengorbanan kita dalam membina generasi anak muda yang boleh mewarisi negara ini. Harapan saya juga  kepada Juara Bertahan, maju dan berusahalah anda ke Separuh Akhir  DAS terlebih dahulu sebelum memikirkan hadiah Wang Tunai dan cahaya Kegemerlapan “flash” kamera di pentas pertandingan akhir. Kalaupun anda hendak sangat tewas biarlah tewas sebagai JUARA YANG TEWAS.

 #         Penulis merupakan Bekas Johan Debat Alam Sekitar 2003 [bagi pasukan debat UIAM]

 

 

 

Laman utama | Profil | Produk | Makalah | Tinta Emas | Buletin | Galeri | Arkib | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian