akademidebat.com makalah

   

| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam |

         
 

KOMENTAR | Debat Integriti Perdana 2006

     
 

 

Komentar: Perdebatan Akhir Debat Integriti Perdana 2006

 27/7/2006: Tajuk perdebatan yang diberikan adalah amat baik dan menjurus kepada medan dan skop kupasan yang bermanfaat. Namun, akademidebat.com berpendapat bahawa tajuk “Peranan keluarga dalam memupuk integriti kurang berkesan” tersebut telah didebatkan berpandukan konsep yang sedikit tersasar daripada hadap tajuk yang sebenar.

 Perdebatan telah dimulakan oleh Ketua Pencadang.

 Kelemahan Ketua Pencadang:- 

(a)                Definisi konsep “peranan keluarga dalam memupuk integriti” yang ditakrifkan menurut Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga boleh dikatakan baik. Namun, Ketua Pencadang gagal mendefinisikan takrif integriti secara konsep. Seharusnya penekanan perlu diberikan kepada maksud Integriti berasaskan Pelan Integriti Nasional (PIN) tetapi ia tidak dilakukan. 

(b)                Ketua Pencadang juga gagal meletakkan konsep tentang kesimpulan kolektif yang bakal dibuat berdasarkan fakta dan bukti imperikal. Seharusnya Ketua Pencadang menyatakan bahawa Pencadang akan tunjukkan statistik peningkatan atau penyebar luasan sesuatu masalah yang berpunca daripada kegagalan institusi keluarga.  

(c)                Hujahan tentang masalah integriti atau kekangan di peringkat asas pembentukan agak tersasar. Sedari saat Ketua Pencadang menyebut kata kunci ini, saya sudah berbisik kepada rakan dan bertanya “Ada ker ibu bapa yang mahu anaknya jadi penyangak??”.  

Kemudian bangun pula Ketua Pembangkang, Saudara Mohd Zaki untuk meningkah hujah pencadang. 

Kelemahan Ketua Pembangkang:- 

(a)                Idea beliau untuk mengkritik kayu ukur Pencadang adalah baik apabila beliau mengatakan kekangan-kekangan adalah lumrah dalam mencapai sesuatu matlamat (dengan merujuk masalah yang ditimbulkan oleh Pencadang). 

(b)                Namun, sebaik sahaja beliau memberikan unjuran hujah, akademidebat.com sudah mula tertanya-tanya apakah cubaan yang ingin dilakukan. Akhirnya Ketua Pembangkang hanya menceritakan “apa yang seharusnya dilakukan oleh Keluarga” dan bukannya “apa yang telah dilakukan oleh keluarga / adakah peranan yang dimainkan keluarga berkesan?”.  

(c)                Tajuk ini adalah satu contoh tajuk hakikat yang mengkehendaki pendebat memaparkan realiti semasa bersandarkan kepada fakta-fakta kontemporari untuk membuat satu kesimpulan kolektif DAN BUKANNYA menceritakan cadangan apakah yang seharusnya dilakukan. 

(d)                Apabila merujuk kepada isu ibu bapa tiada masa untuk anak-anak, Ketua Pembangkang dengan selamba bertanya “adakah ibu bapa nak kena ikut anak-anak ke padang bola?”. Walaupun nampak tepat pertanyaan tersebut, tetapi apabila difikir semula, agak tersasar. Pencadang boleh bertanya kembali “kalau ibu bapa sendiri tidak mahu saksikan anak bermain bola mewakili sekolah atau sebagainya, siapa lagi nak saksikan? Dimana peranan keluarga? Berkesan atau tidak?”. 

Kita tinggalkan Ketua Pembangkang dan Pencadang Pertama bangun untuk menyambung peranan. 

Kelemahan Pencadang Pertama:- 

(a)                Tidak dinafikan penggunaan bahasa dan kawalan suara yang baik membantu persembahan beliau. Namun, terdapat beberapa ayat yang dilayangkan tanpa berfikir panjang tentang maksud dan impaknya yang mendalam. Contoh: “Usul yang mereka bawa tidak boleh diterima (merujuk kepada Pembangkang)”, walaupun kedengaran biasa, tetapi agak janggal bagi Pembangkang mengemukakan usul. 

(b)                Begitu juga apabila Pencadang Pertama mengatakan Ketua Pembangkang tidak menyatakan terima atau tolak definisi yang diberikan. Saya masih ingat bahawa Ketua Pembangkang menerima definisi. Siapa yang tidak cakap dan siapa yang tidak dengar sebenarnya? 

(c)                Statistik tentang laporan PDRM tentang gengsterisme yang berpunca daripada pengaruh keluarga agak janggal bunyinya. Namun, persembahan yang meyakinkan membantu hujah tersebut disampaikan dengan berkesan. 

(d)                Kajian yang dilakukan di Henry Gurney? Soal selidik ke atas pelajar-pelajar? Apakah boleh diterima pakai sebagai hujah yang konkrit? Sudah tentu pelajar-pelajar akan salahkan orang lain terutamanya ibu bapa, takkan nak salahkan diri sendir? Cubalah cari hujah dan statistik yang lebih berkaliber dalam membuat kesimpulan kolektif. 

(e)                Ibu bapa tidak dapat kawal media masa? Siapa kata? Kalau rancangan TV berbayar ada kawalannya oleh kerajaan. Ada pengkelasan U, 18SG dan sebagainya. Kalau ASTRO, ada “parental lock” untuk halang anak-anak dari tonton siaran yang tidak sesuai. 

(f)                 Pujian perlu diberikan kepada Pencadang Pertama kerana berjaya menyangkal celahan Saudari Sakinah tentang “fakta tersebut tidak menunjukkan pemupukan integriti?” dengan berkesan. Walaubagaimanapun, akademidebat.com amat hairan tentang celahan yang diberikan tersebut, sama ada ia satu celahan ataupun hanya suka-suka menghabiskan masa kosong??? 

Duduk Pencadang Pertama, bangun pula Pembangkang Pertama. 

Kelemahan Pembangkang Pertama:- 

(a)                Dengan alunan suara serak basah yang romantika, beliau berjaya menarik perhatian akademidebat.com untuk terus mendengar hujah.  

(b)                Apabila beliau menyatakan bahawa Pencadang hanya tunjukkan masalah-masalah sosial sahaja, akademidebat.com sudah menarik nafas lega kerana Pembangkang sudah nampak sasaran untuk menembak. Namun, malang sekali kerana ia tidak dikembangkan dengan sempurna. 

(c)                Nah! Bidasan tentang “adakah ibu bapa nak anaknya jadi pencuri?” terkeluar dan dewan serentak bertepuk gemuruh. Hujah mantik yang mudah berjaya mencuit sentimen penonton. Saya hanya tersenyum. 

(d)                Tidak puas dengan sentimen, muncul pula analogi acuan yang bagi saya menarik, tepat dan mudah difahami. Sekali lagi penonton bersorak girang. 

(e)                akademidebat.com kembali hampa apabila Pembangkang Kedua memuntahkan fakta senamrobik dan kempen rumahku syurgaku untuk menyokong peranan keluarga telah berkesan. Hujahan logik yang terlalu picisan sehingga khalayak berasa lucu mendengarnya. Kalaupun hendak gunakan hujah tersebut, pastikan ada fakta, statistic atau figura yang menyokong. Janganlah cakap bergementayangan. 

(f)                 Daya membujuk juga seharusnya dilampirkan dengan ayat yang gramatis dan tepat maksudnya. Janganlah sampai mengatakan “menitis air ibu bapa…” yang menyebabkan penonton tergamam, terkumam dan tersembam-sembam mentertawakannya. 

Tamat sesi hujahan substantif, kita beralih kepada sesi bidasan yang lebih memeritkan apabila bangunnya Pencadang Kedua. 

Kelemahan Pencadang Kedua:- 

(a)                Secara asasnya, bidasan Pencadang Kedua tidak berbisa. Hanya menegakkan konsep yang sedia tertegak dan kurang kreativiti dalam melakar bidasan yang mampu menggoncang dewan.  

(b)                Perlu diingatkan bahawa bidasan tidak semestinya berunsurkan lelucon atau sinikal semata-mata, tetapi bidasan perlu juga disulam fakta berisi yang tepat.  

(c)                Analogi kuih dan acuan dijawab dengan amat tersasar. Kalau kuih tidak terjaga, itu salah acuan??? Acuan itu macam manusiakah?? Acuan boleh bergerak kesana kemari menjaga kuih?? Pelik bukan? 

(d)                Namun begitu, jawapan tentang isu ibu bapa takkan mahu anaknya jadi jahat dijawab baik apabila beliau menyatakan bahawa tingkah laku ibu bapalah yang seolah-olah menyuruh anak mengikutnya.  

(e)                Saya perlu nyatakan disini bahawa semasa Pencadang Kedua bercakap, Ketua Pembangkang ada memberikan celahan yang amat menikam diri sendiri. Soalannya “Di negara manakah peranan keluarga berkesan???”. Aduh!! Cukup memeritkan. Pembangkang yang perlu buktikan perkara tersebut dan bukannya bertanya kepada Pencadang. Cubaan tersebut hanya menggali lubang kubur sendiri. 

Tamat bidasan di pihak Pencadang, bangun pula Pembangkang Kedua untuk membidas. 

Kelemahan Pembangkang Kedua:- 

(a)                Anggun dan menarik. Namun suara perlu dikawal supaya tidak terlalu membingitkan telinga. Pendebat wanita yang baik ialah yang pandai menggunakan kelembutan seorang wanita untuk memikat penonton supaya mendengar kata-katanya.  

(b)                Pesalah sumbang mahram telah dihukum dan dihadapkan ke Mahkamah dibawah Akta Rakyat? Saya hanya tersenyum sinis mendengarkan akta yang baru digubal tersebut. Memang benar pesalah sudah dihukum, tetapi persoalannya, apakah gejala sumbang mahram makin berkurangan?  

(c)                Bidasan tentang perceraian menggunakan logik akal yang pendek. Islam menghalalkan cerai sebagai satu jalan keluar sekiranya masalah sudah tidak dapat diselesaikan lagi. Namun, cerai adalah perkara yang dibenci dalam Islam.  

(d)                Pembangkang Kedua hanya tunjukkan faktor-faktor lain yang menyebabkan masalah sosial dan bukannya keluarga. Apakah ini menjawab beban bukti tajuk perdebatan? 

(e)                Sekiranya seseorang suspek ditangkap oleh polis, masih dalam tahanan reman, dan belum disabitkan bersalah, kita tidak boleh menuduhnya telah bersalah. Prinsip asas “semua orang adalah tidak bersalah hingga dibuktikan bersalah” perlu kita junjung walaupun dalam perdebatan. Jangan suka-suka secara terbuka mengatakan anak Yusof Haslam menagih dadah. Itu fitnah namanya sekiranya ia tidak disabitkan bersalah dan mengikut undang-undang, Saudari Sakinah boleh disaman kerana memfitnah. Hati-hati dalam menyebut fakta tentang kes Mahkamah, jangan sampai subjudice

Saya tidak mahu memberikan komen tentang penggulungan kerana perdebatan akhir yang saya saksikan tidak bergantung kepada penutup penggulungan. Ketika duduknya Pencadang Kedua akademidebat.com telah membuat keputusan, dan keputusannya tidak meleset.  

akademidebat.com mengharapkan agar komentar yang diberi diterima sebagai satu teguran membina untuk manfaat bersama dan kami tidak sekali-kali berniat untuk memalukan sesiapa. Sebarang komen dan ketidak puasan hati sila berikan respon anda kepada akademidebat.com.

 Dari meja kayu Ukay Perdana

YUSFARIZAL BIN YUSSOFF

 

Laman utama | Profil | Produk | Makalah | Tinta Emas | Buletin | Galeri | Arkib | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian