akademidebat.com makalah

   

| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam |

       
 

MAKALAH | Terpilih - Debat Maya

   
 

 

ANALISA PERTANDINGAN AKHIR BAHAS PIALA DATO' SYUKOR 2007

Oleh: Harmi Bin Mohammad Jamil

17/7/2007: Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh & salam sejahtera,

Pertama-tamanya saya ingin memperkenalkan diri saya (walaupun sebelum ini sudah berbuat demikian) demi untuk menjernihkan keadaan.
 

Nama saya Harmi bin Mohammad Jamil (sudah berpangkat abang), bekas pendebat Unimas & UMS, berkecimpung dalam dunia debat sekolah dan universiti semenjak 1996 lagi.. Hampir 11 tahun tempohnya. Sekadar pernah beraksi untuk pasukan debat universiti yang "lemah" & "baru" dalam dunia debat namun amat bersyukur kerna pernah mengecapi nikmat beraksi di beberapa pentas final dan memperoleh pengiktirafan naib juara, juara dan pendebat terbaik. Selain itu, pernah juga dijemput menghakimi beberapa siri pertandingan debat samada di peringkat sekolah menengah mahupun IPT.

Saya bukanlah ingin mempertikaikan sesiapa di sini, jauh sekali menimbulkan kekeliruan mahupun kerancuan dalam kalangan minda anda semua, namun saya memikul tanggungjawab untuk memberikan analisa terperinci berkenaan pertandingan akhir tempoh hari dengan seadil-adilnya.

Usul : Rakyat Yang Berminda Kelas Pertama Tunjang Kegemilangan Negara.
Kerajaan : SMK Jitra, Kedah
Pembangkang : SMK Seri Serdang, Selangor

Perdana Menteri

Bermula dengan cukup tenang, sejujurnya saya amat senang dengan pembukaan konsep kerajaan. Pencirian yang serba lengkap mengadunkan 8 (Lapan) ciri utama untuk mengklasifikasikan rakyat berminda kelas pertama. Perhatian harus diberikan kepada 8 ciri ini kerna menitikberatkan fokus perbahasan sepertimana yang disertakan dalam surat rasmi usul kepada semua wakil negeri masing-masing.

Tambah berani, apabila beliau mengemukakan beban bukti yang cukup berat kepada pembangkang, iaitu pembuktian bersifat penafian dari 3 aspek; politik, ekonomi & sosial. Perlu diperingatkan jua bahawa, beban bukti ini boleh samada diterima (dijawab) atau ditolak (dengan membincangkan hal-hal lain) oleh pihak pembangkang.

Susur-galur teknikal penghujahan juga telah beliau gariskan dengan sebaik-baiknya. Hujah pertama disampaikan dan diakhiri dengan penegasan kes.

Justeru, apa silapnya?

Pertama, setiap pendebat/pembahas wajib bertanggungjawab terhadap apa yang dituturkannya. Maknanya, jika anda katakan 8 ciri, maka anda harus buktikan sekurang-kurangnya sebahagian ciri-ciri tersebut. Namun sepanjang penghujahan beliau, saya sendiri gagal mengesan samada beliau telah menggunakan ciri-ciri yang beliau gariskan seawal perdebatan tadi. Ini titik kelemahan yang paling ketara, apabila beliau hanya sekadar melambakkan 8 ciri rakyat berminda kelas pertama tersebut tetapi tidak dibuktikan menerusi analisis hujah. Justeru, apa gunanya mengutarakan perkara yang anda sendiri tidak mampu buktikan?

Di peringkat universiti, mudah sahaja untuk menolak pencirian sebegini. Terlalu truistik, sukar dibangkang dengan akal yang waras! Jika ingin membincangkan rakyat yang lengkap sepenuhnya dengan 8 ciri ini, maka kerajaan menempah maut apabila terlalu sukar untuk mewujudkan masyarakat yang tiada masalah, tiada dosa, tidak melakukan kesalahan dan seumpamanya. Di syurga mungkin boleh tetapi tidak di dunia yang fana ini! Maka, truistiklah jawabnya..

Gaya persembahan beliau yang terlalu dikawal juga menampakkan diri beliau tidak natural, mungkin terkesima dek beraksi di pentas final (stage-fright) tetapi pendebat yang baik akan mampu conceal / menyembunyikan riak wajah & gayanya yang menampakkan rasa gementar. Aspek bahasa juga amat penting apabila beliau "terlalu serius" dan "straight-forward" dalam penghujahannya. Di pentas final, manfaatkanlah gaya bahasa yang cantik (bukannya terlalu berbunga-bunga), apalah salahnya jika sesekali menggunakan bahasa kiasan, peribahasa dan seumpamanya selagi mana ianya membantu penghujahan dengan berkesan. Bahasa yang terlalu berbunga-bunga tetapi tidak membantu penghujahan memang dilarang sama sekali bukan sahaja dalam debat peringkat sekolah bahkan peringkat universiti pun.

Di akhirnya, saya mendapati bahawa Perdana Menteri cuma menetapkan hala tuju perdebatan dengan cara yang longgar, tidak bersungguh-sungguh dan hujahan yang tidak diikat dengan kemas. Sesiapa sahaja mampu meletakkan sebanyak mana pun ciri namun tidak semua mampu membuktikan setiap satunya!

[Pernah sekali di pentas final Debat Kemerdekaan Antara IPT Malaysia 2005, usul kerajaan "Takkan Bahasa Melayu Hilang Di Dunia", pembangkang muncul dengan konsep yang cukup mantap & ingin membicarakan ciri-ciri Bahasa Melayu asli. Saya menuntut ahli-ahli pembangkang untuk nyatakan apakah ciri-ciri Bahasa Melayu asli tersebut, dan sehingga tamat debat terbuka (sebelum penggulungan) barulah dijelaskan oleh pembangkang ketiga. Itupun setelah bertalu-talu didesak (bahasa debatnya "claim") oleh kami, pihak kerajaan. Namun di akhirnya mereka sudah terlambat dan tewas. Inilah masalahnya apabila pendebat mengemukakan seribu satu konsep/ciri/kayu ukur tetapi tidak pernah dibuktikan/dinyatakan.]

Pembangkang Pertama

Bermula dengan agak perlahan tetapi tenang, beliau membuka kes pembangkang dengan konsep melawan kes kerajaan. Sayangnya, beliau tidak menyentuh tentang satu analogi yang cukup kuat, bekalan daripada jurulatih-jurulatih beliau.

[Sekiranya saya menjadi pembangkang pertama, saya akan mengutarakan analogi, seorang ayah yang baik adalah asas kepada keluarga bahagia. Saya tidak akan bercerita tentang bagaimana untuk melahirkan seorang ayah yang baik tetapi saya akan tunjukkan bahawa ayah yang baik itu telah sedia wujud namun masalah-masalah yang melingkari ayah yang baik itu akan menjejaskan fungsinya sebagai asas kepada keluarga bahagia.]

Dan pada ketika itu, saya sudah beranggapan bahawa konsep pembangkang sudah tumbang dan dengan sendirinya konsep kerajaan (walaupun tidak dibuktikan menerusi penghujahan ahli-ahli kerajaan) tertegak.

Namun kredit harus diberikan kepada beliau, kerana sebagai pembangkang, mereka bersemuka dengan cabaran beban bukti kerajaan. Kerajaan tuntut mereka untuk bincangkan aspek politik, ekonomi & sosial, maka mereka jawab juga menerusi bidang tugas mereka, juga dari aspek politik, ekonomi & sosial. Sungguh berani! Berdepan dan bersemuka sebegitu dengan beban bukti kerajaan membuktikan mereka ini "anak jantan" dan "tidak takut untuk membangkang usul kerajaan". Harus diperingatkan bahawa, dalam mana-mana pertandingan sekalipun, hakim akan mengagumi pasukan yang berani bersemuka dengan pihak lawan & sekaligus menjawab usul perdebatan.

Yang lebih menghairankan, beliau menerima kesemua ciri rakyat berminda kelas pertama yang digariskan oleh pihak kerajaan. Persoalannya, adakah beliau dan rakan-rakan beliau akan membincangkan ciri-ciri tersebut menerusi hujah-hujah beliau?

Tatkala beliau menyebut dengan jelas kata kunci hujah pertama, rakyat yang tidak berintegriti dan tidak berbudaya kerja cemerlang bukan asas kepada kestabilan politik negara, ditambahkan pula penceritaan beliau tentang masyarakat kita yang berilmu pengetahuan tinggi, berkolar putih tetapi mengamalkan rasuah dan malas bekerja, maka sekurang-kurangnya beliau sudah membuktikan bahawa ciri-ciri tersebut tiada dalam jiwa dan minda rakyat kita. Benar rakyat kita berilmu pengetahuan, ijazah tinggi menggunung tetapi rasuah, korup & tiada disiplin masa! Hujah yang mudah, tetapi jelas dan mantap! Secara teknikalnya, beliau membincangkan rakyat yang sememangnya berminda kelas pertama tetapi bermasalah, maka tidak patut menjadi tunjang kegemilangan negara.

Persembahan beliau ada kalanya tidak natural, mainan emosi juga tidak cukup sampai. Namun beliau telah menetapkan landasan kes pembangkang dengan baik walaupun tidak kemas. Perhatian harus diberikan kepada hal-hal berikut;
1. Beliau gagal mencabar konsep "rakyat berminda kelas pertama" kerajaan.
2. Beliau bersetuju untuk membincangkan ciri-ciri rakyat berminda kelas pertama yang ditetapkan oleh kerajaan sekaligus menjawab beban bukti yang diberikan.
3. Beliau menyampaikan hujah berlandaskan 2 ciri utama (yang digariskan oleh kerajaan) dan berjaya menimbulkan keraguan terhadap konsep kerajaan (walaupun hanya sekadar teknikal).

Menteri Kedua

Saya kira ahli kerajaan yang kedua ini banyak menyelamatkan keadaan dan konsep pasukan. Tidak keterlaluan, beliau punya karisma yang tersendiri dalam membidas dan berhujah. Sejujurnya, beliau antara calon yang layak dinobatkan selaku pendebat terbaik final tempoh hari.

Tatkala beliau bangun, dengan jelas beliau menerangkan kembali konsep kerajaan dan mem"bidas" pihak pembangkang yang cuba lari dari menjawab usul dengan membincangkan pula, rakyat berminda kelas ketiga. Masalah integriti dan budaya kerja yang kurang cemerlang, dilabelkan sebagai bukan masalah rakyat berminda kelas pertama sebaliknya merupakan masalah rakayat berminda kelas ketiga! Sekali lagi, saya ingin nyatakan bahawa setiap pendebat/pembahas wajib bertanggungjawab terhadap apa yang dituturkannya!

Pada saya, pembangkang perlu ambil peluang keemasan ini untuk menuntut menteri kedua untuk menjelaskan pula ciri-ciri rakyat berminda kelas ketiga ini, kerana konsep ini terpacul dari mulut beliau. Seharusnya beliau buktikanlah dengan membezakan rakyat berminda kelas pertama dengan rakyat berminda kelas ketiga. Di peringkat universiti, perkara sebegini dikenali sebagai "beban berganda". Sudahlah perlu membuktikan rakyat berminda kelas pertama, sekarang perlu bezakan pula dengan rakyat berminda kelas ketiga. Tugas yang cukup sukar! Dan sebenarnya, senario "senjata makan tuan" (itupun jika pihak pembangkang alert/prihatin akan perkara ini) sudah berlaku di sini.

Cuma hujah-hujah beliau ada juga menyentuh tentang 2 atau 3 ciri, itupun tidak secara tepat dan menyeluruh. Beliau lebih banyak bercerita tentang perkara-perkara yang ditekankan sebagai fokus perdebatan, iaitu
1. 50 Tahun Kemerdekaan Negara
2. Misi Nasional (teras-terasnya)
3. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).
Masalahnya, beliau sendiri tidak menunjukkan bahawa rakyat berminda kelas pertama itu telah sedia wujud dan tiada masalah. Apa yang banyak beliau ceritakan adalah segelintir individu yang menyumbang jasa bakti dalam aspek politik dan sosial.

Paling ketara apabila beliau tidak menafikan bahawa secara teknikalnya pembangkang turut berhujah dalam ruang lingkup yang sama (cuma ada/tiada masalah). Apa yang beliau tuduh adalah, pembangkang tidak menjawab usul dengan membincangkan masalah untuk melahirkan rakyat berminda kelas pertama sedangkan pembangkang sudah tunjukkan bahawa rakyat sememangnya sudah berminda kelas pertama tetapi bermasalah sehingga tidak boleh diangkat menjadi tunjang kegemilangan negara.

Kemampuan beliau berbicara dengan lancar dan menyakinkan agak ter"cemar" dengan ayat-ayat yang "bongkak" dan "kurang sopan" daripada beliau. Perlu diperingatkan bahawa, Bahas Piala Dato' Shukor ini amat menitikberatkan soal adab dan tatasusila yang tinggi. Jika ingin menyindir atau menghina, perlu ada adabnya, perlu disulami dengan kata-kata yang tidak menyinggung perasaan sesiapa. Bukannya secara semberono sahaja disebutkan "pembangkang banyak tembelang" atau "pembangkang temberang". Ini bukan objektif yang diinginkan oleh pertandingan peringkat sekolah sebegini. Barangkali perlu diselidik lagi salinan "Taklimat Penghakiman" (setiap negeri menerimanya pada malam pertama sebelum pusingan awal) dan diperhalusi setiap syarat-syarat pertandingan di dalamnya. Sejujurnya, anda akan menyaksikan betapa sesetengah perkara adalah dilarang sama sekali untuk dilakukan. Dan jika dilakukan juga, maka buruk padahnya, markah akan dipotong atau penalti dikenakan.

Justeru, walaupun konsep hujahan beliau (aspek isi) agak cantik dan menarik, namun pendekatan (bahasa, gaya & strategi) yang silap serta tidak menitikberatkan adab sopan dan tatasusila yang baik akan menjejaskan markah beliau.

Pembangkang Kedua

Dengan tubuh kecil molek, beliau tampil tegas mempertahankan pendirian dan konsep pembangkang. Namun sepertimana pembangkang pertama, persoalan konsep kerajaan tidak dibidas dengan sebaiknya. Paling sedih apabila beliau tidak kemukakan analogi "ayah yang baik" sepertimana yang telah saya jelaskan awal-awal lagi tadi.

Namun demikian, dalam keadaan tertekan itu jugalah, beliau membidas hujah kerajaan dengan mempertikaikan bahawa rakyat yang berminda kelas pertama pun punya masalah masing-masing. Tiada manusia yang sempurna tanpa ada masalah. Dijelaskan pula dengan sindrom "subsidi" dan "bantuan" yang terlalu diharapkan oleh masyarakat kita kini, beliau berjaya membunuh hujahan kes menteri kedua dengan analogi-anologi yang cantik, antara yang terbaik adalah analogi: helikopter. Untuk mendaki ke puncak gunung, tidak semua orang mahu berusaha keras dengan gigih, sebaliknya terlalu mengharapkan adanya helikopter untuk naik ke atas dengan mudah dan cepat! Analogi yang cukup jelas untuk membuktikan bahawa walaupun kita punya rakyat berminda kelas pertama, namun sindrom terlalu mengharapkan bantuan ini terutamanya dalam kalangan masyarakat Bumiputera/Melayu amat ketara dan tidak boleh dinafikan kebenarannya, termasuklah oleh pihak kerajaan.

Penghujahan beliau lebih banyak memainkan sentimen, menceritakan senario atau realiti masa kini. Hujah ekonomi dikupas dengan mengutarakan masalah sindrom "subsidi" tadi dan masyarakat yang kurang berdaya saing. Hujah sosial pula menekankan rakyat yang kononnya berminda kelas pertama tapi punya masalah dalam menjiwai semangat patriotik!

Pada saya, beliau cukup bijak apabila menyampaikan intipati penghujahan dengan daya pujuk yang tinggi (walaupun hanya menyanyikan 2 rangkap sahaja lagu dan BUKANNYA menyanyikan keseluruhan lagu) serta penuh simbolik tetapi penuh sinis. Jika beraksi dalam keadaan tegang, adakalanya elemen-elemen kecindan/lelucon perlu disuntik untuk menghidupkan suasana. Namun elemen-elemen itu wajib membantu penghujahan secara berkesan. Dan sejujurnya juga, saya melihat itulah kelebihan yang beliau ada.. Umpamanya, berhujah secara serius dan langsung ini seperti makan nasi. Lebih sedap jika dicampurkan dengan lauk-pauknya (kerencaman bahasa kiasan, peribahasa dan permainan bahasa yang indah).

Saya sedar hadirin hadirat ramai yang tergelak tetapi kemudiannya senyap kerana menyedari hakikat betapa remaja kita kini benar-benar dibelenggu masalah kelunturan semangat patriotik. Inilah yang dikatakan mengajak hadirin sekalian berfikir dan bukannya hanya menyuapkan hadirin dengan fakta-fakta yang membosankan!

[Nyanyian 2 rangkap lagu merdeka tersebut adalah hasil nukilan saudara Azizul Hakim, sewaktu menyampaikan pidato sekaligus muncul Johan Pidato Belia Peringkat Kebangsaan & Juara Antara Juara Pidato Peringkat Kebangsaan 2007. Memang menghiburkan tetapi cukup sinis dan mendatangkan kesan. Justeru, tidak timbul soal menghina lagu patriotik kerana nyanyian 2 rangkap (bukan keseluruhan lagu) pernah disampaikan di hadapan Menteri Belia dan Sukan serta seluruh warga belia Malaysia. Kita tidak berhak untuk menghukum bahawa nyanyian 2 rangkap lagu itu mencemarkan lagu patriotik negara. Kita sebenarnya lebih bersikap TIDAK PATRIOTIK jika tidak sanggup mengakui sekaligus memperbetulkan kesilapan anak remaja kita sendiri yang terjerumus dalam kancah gejala sosial! Hakikat yang benar walaupun pahit untuk kita telan..]


Menteri Ketiga / Menteri Pertahanan

Pada awalnya, saya dimaklumkan bahawa menteri ketiga ini tidaklah begitu hebat persembahan atau penyampaiannya. Namun sebaik sahaja beliau membuka bicara, saya terpegun dan terkesima akan kemampuan beliau. Benarlah bahawa, kecil-kecil cili padi, kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka ayah.

Analisa bidasan beliau dibahagikan kepada 2 aspek, iaitu bidasan berjemaah dan bidasan secara individu. Persis corak bidasan pendebat-pendebat di universiti. Saling tak tumpah...

Namun sayangnya, ini Bahas Piala Dato' Shukor (peringkat sekolah menengah) yang punya format, adab tatasusila dan pantang-larangnya yang tersendiri. Wujud kekeliruan di kalangan delegasi pendebat wakil negeri masing-masing samada boleh atau tidak menggunakan pendekatan bidasan dwicara sebegitu. Saya kurang pasti bagaimana agaknya di negeri lain, namun di Selangor, format yang diperolehi daripada Kementerian Pelajaran Malaysia mengkehendaki pendebat ketiga hanya perlu membidas secara individu dan terhadap hujah serta bukannya secara berjemaah dan terhadap ranting-ranting hujah (contoh-contoh kecil). Jika kurang percaya, saya syorkan anda semua merujuk kembali kepada salinan Taklimat Penghakiman yang telah diserahkan kepada wakil negeri masing-masing (samada pegawai JPN atau guru pengiring). Kaji sedalam-dalamnya bagaimana yang dikatakan corak bidasan sepertimana yang dihasratkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Sayugia juga diperingatkan bahawa Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia tidak pernah terlibat secara langsung dalam pertandingan Bahas Piala Dato' Shukor ini kerana pertandingan ini merupakan acara rasmi kementerian di peringkat sekolah menengah Malaysia.

Baiklah, pada mulanya beliau membidas konsep pembangkang dengan mengetengahkan perkara yang sama sepertimana yang telah dijelaskan oleh menteri kedua. Bahkan, pendekatan yang beliau ambil untuk membidas juga sama, iaitu secara jelasnya menunjukkan bahawa pihak pembangkang tersilap pembawaan dan cuba mengubah usul apabila hanya membincangkan "rakyat yang berminda kelas ketiga". Perlu diperingatkan juga bahawa perkara sebegini telah ditekankan oleh menteri kedua pihak kerajaan.

Maka, apa silapnya?

Kita rujuk kembali kepada format pertandingan sepertimana yang terkandung di dalam Taklimat Penghakiman. Apabila melakukan kerja-kerja bidasan, pendebat ketiga mana-mana pasukan dimestikan membidas berdasarkan perspektif yang berbeza jika bidasan terhadap perkara tersebut pernah disampaikan oleh rakan-rakan mereka yang terdahulu. Maknanya, jika menteri kedua telah membidas dan menyatakan bahawa pembangkang kononnya tersilap pembawaan konsep kerana mengutarakan hujah-hujah yang memaparkan "rakyat berminda kelas ketiga", maka sebagai pendebat yang baik, beliau perlu juga membidas tetapi menggunakan perspektif yang berbeza. Contohnya, berikan analogi yang jelas atau fakta-fakta yang benar-benar mantap, bukan hanya sekadar meng"apung"kan konsep pembangkang tanpa dicantas dengan kuat! Lebih menyedihkan cara meng"apung"kan konsep pembangkang juga dibuat sambil lewa, bersifat hanya atas angin, tergantung tanpa pembuktian dan amat kabur.. namun tetap disambut sorakan dan tepukan gemuruh hadirin (barangkali oleh sebas penyokong yang datang berduyun-duyun dari utara).

Bidasan individu terhadap hujah-hujah juga amat lemah, apabila secara keseluruhannya, semua hujah dibidas menggunakan pendekatan yang sama. Saya mendapati bahawa setiap satu hujah pembangkang dibidas sekaligus dengan SATU bidasan konsep "itu rakyat berminda kelas ketiga, bukan kelas pertama" dan bukannya satu-persatu (seharusnya unik dan berlainan antara satu sama lain). Dan sekali lagi, setiap bidasan yang SAMA itu disambut dengan sorakan penuh riang daripada penyokong. Alhamdulillah, jemaah hakim mampu membezakan antara intan dan kaca, walaupun dari aspek gaya dan bahasa menteri ketiga ini nampak kuat, namun strategi dan isi punya banyak kelemahan. Gara-gara kurang rajin untuk membidas satu-persatu hujah pembangkang dengan bidasan tersendiri.

Secara keseluruhannya, menteri ketiga menang dari segi penegakan konsep, itupun sekadar menguatkan bidasan menteri kedua tanpa memberikan perspektif bidasan yang lain. Dan beliau tewas apabila tidak membidas dengan spesifik dan jelas (perbezaannya) terhadap hujah-hujah lawan.

Pembangkang Ketiga

Mungkin individu ini paling kontroversi kerna "kebodohannya" menyanyi dan banyak mengaku dirinya kacak sepanjang beliau berucap. Hati-hati dengan perkataan yang anda keluarkan. Rujuk kembali kepada Taklimat Penghakiman (Syarat-syarat Pertandingan), setiap hakim perlu bertoleransi terhadap corak penghujahan dan gaya persembahan setiap pendebat, maknanya selagi mana ianya membantu penghujahan, maka seharusnya dibenarkan dan diberi kredit tersendiri.

Saya mendapati bahawa sebagaimana beliau berhujah ketika di pentas final, begitulah gayanya di luar pentas pertandingan. Beliau menjadi dirinya sendiri, tidak langsung hipokrit, berkeyakinan dan membawa unsur-unsur kecindan dan lelucon yang terkawal dalam dewan persidangan yang cukup tegang dan serius ketika itu. Namun begitu, tatkala kita bergelak ketawa, pernahkah kita berfikir akan apa yang beliau sampaikan? Bukankah seorang pendebat yang baik akan menggunakan apa jua cara yang benar-benar berkesan dalam menyampaikan hujah/bidasannya? Bagi sesetengah orang, cara memujuk dan permainan emosi yang mendalam dan mengesankan mampu membuatkan kita semua berfikir secara kritis apa yang disampaikan. Sesetengah yang lain pula, akan menggunakan pendekatan humor yang terkawal untuk menyampaikan buah fikirannya. Bahkan, jangan terkejut jika ada yang menggunakan pendekatan "membebel" atau "marah-marah" untuk menarik perhatian jemaah hakim dan penonton terhadap apa yang beliau utarakan. Saya kira ramai pendebat di peringkat universiti punya corak pendekatan berdasarkan personaliti berbeza-beza sepertimana yang telah saya nyatakan tadi.

Justeru, pendekatan berbeza-beza inilah yang menjadikan sesebuah perdebatan itu unik dan menarik. Anda mungkin tidak bersetuju wujud elemen nyanyian (walaupun cuma 2 rangkap sahaja) ataupun elemen lelucon (menyatakan dirinya kacak), namun adakah itu menjejaskan corak bidasan beliau? Adakah hanya kerana sedikit sentimen tidak menyukai nyanyian, bahasa-bahasa puitis atau unsur-unsur lelucon, maka kita harus bersikap ego dengan mengenepikan terus idea intelektual yang cuba digarapkan? Di sinilah bezanya antara orang biasa dengan orang yang faham apa itu debat. Orang biasa hanya mengharapkan idea intelektual yang cuba disampaikan harus selari dengan selera dan kehendaknya. Namun mereka yang menjiwai debat mampu membezakan intipati idea intelektual itu dengan "rencah-rencah" yang menyedapkan gaya penyampaian idea tersebut. Maka, anda fikirlah tahap pemikiran anda di mana ya..

Berbalik kepada bidasan pembangkang ketiga, pada saya beliau berjaya mempelbagaikan corak/pendekatan bidasan terhadap hujahan pihak kerajaan. Ada hujah yang dibidas dengan konsep, ada juga yang dipatahkan dengan menggunakan analogi, juga dengan fakta-fakta yang jelas (contohnya : bantuan subsidi, kelemahan penguasaan 3M, KIA 2M dan sebagainya) Kata orang, memang secukup rasa! Inilah pendebat ketiga yang versatile.. Tahu menggunakan suasana dan senario pertandingan yang cukup tegang untuk menyampaikan bidasan dengan cara yang santai, sedikit lelucon/kecindan tetapi mesejnya sampai! Cuma mesej tidak akan sampai kepada mereka yang SENGAJA menutup pintu akal dan minda mereka untuk menerimanya!

Di akhirnya, saya mendapati bahawa pendebat ketiga pembangkang ini dalam kelasnya yang tersendiri. Mungkin ramai yang tidak memahami corak pendekatan yang beliau ambil untuk membidas, bahkan ada yang sanggup melabelkan kelemahan itu sebagai "kebodohan" beliau tetapi semua itu tidak penting.. Jika saya sendiri yang sudah lama bergelumang dalam dunia debat sekolah dan IPT bersama-sama 2 lagi rakan saya yang sememangnya tahu selok-belok dunia perdebatan ini boleh menerima cara pembawaan beliau (pembangkang ketiga), maka itu sudah cukup baik saya kira. Beliau punya potensi yang cukup besar dalam dunia debat, insyaAllah di peringkat lebih tinggi walaupun beliau cuma berusia 15 tahun.

Penggulungan Pembangkang

Tidak banyak yang perlu diperkatakan. Sekali lagi, kita rujuk kembali format pertandingan yang terkandung dalam Taklimat Penghakiman.
Setiap rumusan hujah-hujah pihak lawan perlu dinyatakan dan dibidas atau dipatahkan dengan bidasan yang berbeza perspektifnya (berbeza dengan bidasan-bidasan yang pernah dinyatakan sewaktu ucapan substantif). Inilah kelebihan penggulung pembangkang (pendebat pertama pembangkang) apabila beliau menghuraikan secara ringkas satu persatu hujah pihak kerajaan dan beliau patahkan satu-persatu hujah tersebut dengan pendekatan bidasan yang berbeza.

Kemudiannya beliau merumuskan 3 hujah pihaknya, pembangkang dan membuat timbang tara yang jelas. Permainan emosi cukup tinggi (tetapi pada saya kurang sesuai kerana seolah-olah cukup sedih dan ingin menangis), namun sekali lagi jemaah hakim perlu bertoleransi terhadap corak/gaya persembahan pendebat jika ianya membantu penyampaian ideanya.

Maka, tuntasnya beliau berjaya menyakinkan jemaah hakim akan perjuangan pasukannya walaupun pada awalnya konsep pembangkang sudah musnah.

Penggulungan Kerajaan

Tiada perkara baru yang berlaku, masih lagi mengekalkan momentum persembahan yang sama, penggunaan ayat-ayat yang kurang menitikberatkan adab dan tatasusila yang tinggi (perkara ini diberi perhatian yang serius oleh jemaah hakim menerusi format pertandingan) serta tahap keyakinan yang setara dengan ucapan substantif.

Cuma yang menarik perhatian saya adalah apabila beliau menggulung kes hujahan pihak pembangkang (lawan) dengan merangkumkan ketiga-tiga hujah pihak pembangkang dan mematahkan/membidasnya sekaligus. Ini kesalahan paling besar dari segi format penggulungan (sepertimana yang digariskan dalam Taklimat Penghakiman)! Beliau tidak patahkan satu-persatu hujah pihak pembangkang tetapi sebaliknya membidas secara keseluruhan. Itupun mengulang kembali konsep bidasan yang pernah beliau dan menteri ketiga kemukakan dalam ucapan substantif, iaitu menyatakan bahawa pembangkang bukannya berbicara mengenai rakyat berminda kelas pertama tetapi sebenarnya rakyat berminda kelas ketiga. Perlu diperingatkan juga bahawa, perkara ini sudah ditekankan sebanyak 2 kali, oleh menteri kedua dan menteri ketiga masing-masingnya dalam bidasan terhadap konsep dan hujah pembangkang (itupun belum termasuk izin laluan yang diutarakan).
Justeru, di manakah perspektif lainnya corak bidasan tersebut? Pastinya, saya sendiri gagal mengesan samada kerajaan sudah mematahkan hujah-hujah pembangkang dari perspektif lain ataupun tidak!

Ulasan Keputusan Pertandingan

Setelah mempertimbangkan banyak perkara sepertimana yang terkandung dalam format, konsep dan syarat-syarat pertandingan (Taklimat Penghakiman Bahas Piala Dato' Shukor 2007), saya mendapati bahawa jemaah hakim benar-benar menjalankan tugas dengan seadil-adilnya apabila berlandaskan kepada panduan Taklimat Penghakiman berkenaan.

Aspek Isi & Konsep

Saya kira landasan perdebatan yang ditetapkan dengan "cantik" (8 ciri rakyat berminda kelas pertama) gagal dimanfaatkan oleh pihak kerajaan dengan sempurna. Hanya membincangkan 2/3 ciri (itupun tidak menyeluruh) tidak mampu menyelamatkan hujahan kes kerajaan.

Sebaliknya, keberanian pembangkang untuk bersemuka dengan konsep kerajaan walaupun dituduh "silap pembawaan konsep" cukup menggentarkan. Mereka sanggup berbicara tentang 8 ciri rakyat berminda kelas pertama tersebut (walaupun hanya dinyatakan 6 dalam hujahan mereka) bahkan berani menjawab beban bukti kerajaan (untuk membincangkan aspek politik, ekonomi dan sosial secara bersemuka) dengan mengutarakan hujah-hujah yang berkisar tentang 3 aspek itu.

Aspek Strategi, Bahasa & Gaya

Pendekatan bidasan yang hanya mengutarakan satu perspektif sahaja, menggunakan gaya bahasa yang senada dan serius sentiasa sebenarnya banyak menjejaskan markah kerajaan dari segi strategi, bahasa dan gaya. Sebaliknya corak bidasan yang pelbagai (dengan bahasa kiasan, analogi, fakta dan sebagainya) disampaikan pula dengan bahasa puitis (yang membantu penghujahan) dan disuntik dengan unsur-unsur lelucon/kecindan yang terkawal (tidak keterlaluan) memberi kelebihan kepada pihak pembangkang.

Saya sedar bahawa tulisan saya ini akan mengundang pelbagai reaksi daripada pembaca-pembaca sekalian. Namun atas dasar tanggungjawab dan semangat cintakan debat, maka saya tampilkan juga kebenaran yang tersirat di sebalik pertandingan Bahas Ala Parlimen Piala Dato' Shukor 2007. Niat saya bukanlah untuk memenangkan, jauh sekali untuk memburukkan sesiapa.. namun tujuan saya adalah agar kita semua dapat mengambil panduan, pedoman dan teladan daripada apa yang telah kita saksikan atau alami.

Saya juga terbuka kepada apa jua kritikan membina (bukan menghina atau tidak bermanfaat) dalam usaha memperjuangkan seni debat yang cukup bermakna ini. Saya doakan kejayaan adik-adik sekalian, samada dari SMK Jitra, Kedah dan SMK Seri Serdang, Selangor mahupun adik-adik dari sekolah-sekolah lain yang berkecimpung dalam dunia debat ini, belajarlah ilmu debat sebaik-baiknya, tunaskan rasa ikhlas dalam perjuangan demi debat kerna sesungguhnya perjuangan ini ibarat kita berjuang menuntut ilmu di jalan-Nya. Nescaya, Allah akan memberkati usaha murni kita.

Wallahuwa'alam.

 

 
       

Laman utama | Profil | Produk | Makalah | Tinta Emas | Buletin | Galeri | Arkib | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian