akademidebat.com makalah

   

| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam |

 

MAKALAH | Politik Antarabangsa

     
 

SUAKA: PENENTUAN POLITIK ATAU KEMANUSIAAN

Oleh:    Wan Rohimi Bin Wan Daud

26/8/2006: Suaka ditakrifkan mengikut definisi literal kamus Dewan Edisi ke-3 yang dikeluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, membawa maksud “tempat berlindung atau menumpang (hidup)” dan bersuaka pula didefinisikan sebagai “berlindung (menumpang) hidup pada”.

Secara konsepnya suaka membawa maksud seorang warganegara asing atau pelarian yang mencari perlindungan di sebuah negara lain daripada ditangkap oleh pemerintah di negaranya sendiri dan dianiaya, atau disiksa atau menjadi mangsa kepada perang antara negara-bangsa mahu pun perang saudara, atau lain-lain konflik bersenjata. Secara mudahnya dapatlah difahami bahawa pelarian-pelarian ini akan memasuki negara lain secara sah atau secara haram, untuk mendapatkan perlindungan atau suaka disebabkan “ketakutan yang munasabah terhadap penganiayaan politik yang berlaku dinegara ibundanya” (a reasonable fear of politically motivated persecution in their home country).

Selalunya suaka akan dirujuk sebagai “suaka politik”, kerana kuasa yang memberikan suaka di sesebuah negara yang dipohonnya itu adalah kuasa kerajaan negara tersebut dan bukannya kuasa individu. Bahkan, kebenaran untuk mendapatkan suaka yang diberikan oleh Kedutaan-Kedutaan negara ketiga juga adalah disifatkan sebagai kuasa politik. Atas dasar inilah perkataan suaka selalunya disinonimkan sebagai “suaka politik”.

Sebelum kita telusuri dengan lebih jauh berkenaan dengan suaka ini, eloklah kita fahami bahawa suaka terbahagi kepada dua kategori:-

1.                   Suaka dalam Wilayah (territorial asylum);

2.                   Suaka di Luar Wilayah (extra-territorial asylum).

Suaka dalam Wilayah membawa maksud bahawa semua negara bangsa adalah berhak, tertakluk kepada apa-apa triti antarabangsa atau undang-undang di peringkat nasional di sebaliknya, memberi perlidungan kepada mana-mana orang asing yang datang secara fizikal ke negara itu dengan tujuan untuk mendapatkan perlidungan. Hak untuk memberikan perlindungan kepada warga negara asing itu adalah lahir dari sifat  kedaulatan (sovereignity) negara bangsa tersebut. Sebagai contohnya apabila Nur Misuari datang ke Malaysia dan memohon untuk mendapatkan suaka politik, maka terpulanglah kepada kerajaan Malaysia samada untuk menerima atau menolak permohonan tersebut.

Suaka di luar Wilayah (extra-territorial) pula membawa maksud perlindungan yang diberikan oleh sesebuah kerajaan secara terpaksa lantaran tidak mempunyai bidangkuasa ke atas pemohon suaka yang berkenaan. Untuk memudahkan pemahaman tentang konsep suaka dalam kategori ini, molek kiranya kita merujuk kepada satu kes pada 30/3/1998 di mana lapan orang pendatang tanpa izin Indonesia yang juga diberitakan sebagai pelarian Acheh, telah memecah masuk ke pejabat Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur untuk memohon suaka. Akibat perlindungan sementara yang diberikan oleh Kedutaan Amerika Syarikat tersebut, maka semua pelarian tersebut berada “di luar bidang kuasa” kerajaan Malaysia. Dan konsep inilah yang dinamakan sebagai suaka diluar wilayah.

Beberapa dasawarsa ini memperlihatkan perkembangan permasalahan pelarian politik dan pelarian perang yang amat membimbangkan. Masalah ini berlaku di segenap pelusuk benua. Tidak ada kerajaan sesebuah negara bangsa yang stabil yang tidak menghadapi masalah pelarian-pelarian yang cuba memohon suaka di negara mereka, melainkan kerajaan-kerajaan yang mana negara yang diperintahnya tidak selamat untuk didiami. Oleh itu tidaklah hairan kalau langsung tidak ada permohonan suaka di Afghanistan, kerana rakyatnya pun lari bertempiaran, bahkan yang masih berlindung di sempadan Pakistan masih tidak berhasrat untuk pulang. Tidaklah juga menjadi perbualan sekiranya kita tidak pernah mendangar adanya  permohonan untuk mendapatkan suaka di Israel, disebabkan kewujudan negara itu sendiri menjadi ‘api dalam sekam’ di kalangan dunia Islam, ditambah pula dengan pemerintah kejam zionis Ariel Sharon, atau Perdana Menteri yang lain sebelum itu, kerana kita sudah sedia faham tentang iklim politik di negara tersebut. Begitulah juga, tidak pernah mendengar terdapatnya permohonan suaka di Palestin, kerana bumi anbia’ ini semakin cuba dilupuskan dari peta dunia oleh Israel dan sekutunya. Saban hari, rakyat Palestine dijamu dengan santapan letupan peluru dari muncung-muncung senjata, dan roket-roket bahkan peluru berpandu yang boleh membawa maut. Oleh itu, ia menjadikannya lokasi yang amat tidak diminati oleh pelarian-pelarian yang cuba memohon suaka.

Walau pun tidak ada statistik yang tepat berkenaan dengan jumlah pelarian dan pemohon suaka, tetapi adalah dipercayai terdapat lebih dari 20 juta pelarian-pelarian yang bertebaran di seluruh dunia. Tidak ada bahagian dunia yang tidak terkecuali dari menghadapi masalah pelarian dan pergerakan manusia yang cuba lari dari keganasan dan penganiyaan di tanah air sendiri, dan juga cuba mengelak dari menjadi mangsa perang dan konflik bersenjata. Pelarian-pelarian ini samada cuba untuk mencari tempat perlidungan sementara, sementara menunggu dan mengharap berlakunya perubahan iklim politik dan cuaca kedamaian di negara mereka, yang membolehkan mereka kembali ke tanah tumpah darahnya untuk meneruskan sisa kehidupan dengan aman dan selamat bersama sanak saudara dan keluarga tercinta. Sekiranya impian untuk kembali menjadi sebuah kemusahilan buat mereka, maka terpaksalah mereka mencari ruang geografi yang baru untuk memulakan suatu kehidupan yang baru.

Jika direnung kembali lipatan sejarah silam, dapatlah diperhatikan bahawa permasalahan pelarian telah bermula lama sebaik tamatnya Perang Dunia ke-II. Atas dasar itulah beberapa tahun selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ditubuhkan pada 1945, maka ditubuhkan pula Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkenaan Pelarian atau dikenali sebagai “United Nation High Commissioner for Refugees (UNHCR) pada tahun 1951. Penubuhan Suruhanjaya ini pada awalnya adalah untuk mengatasi lanskap pergerakan pelarian dari Eropah Timur, yang cuba memasuki dan mendiami negara-negara Barat yang sedang mengalami proses industrialisasi. Walau bagaimana pun, pergerakan dan perpindahan pelarian-pelarian pada waktu itu adalah licin, teratur dan tidak menghadapi masalah kerana terdapatnya persamaan budaya dan etnik di antara negara-negara yang menerima pelarian dan pelarian-pelarian Eropah. Keadaan ini telah menyebabkan perkembangan yang menguntungkan dan penerimaan standard antarabangsa tentang bagaimana pelarian-pelarian harus dilayani, seperti yang dipertontonkan melalui Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkenaan dengan Pelarian pada tahun 1951.

Dalam era 1960-an, senario pelarian yang mencari pelindungan ini berkembang ke negara-negara dunia ke-3 terutamanya dibenua Afrika, disebabkan masalah dekolonialisasi dan peperangan. Dalam konteks ini, UNHCR juga telah memainkan peranan yang penting dalam memudahkan penerimaan dan pengawalseliaan ratusan ribu pelarian, bahkan membantu mereka kembali ke tanah air mereka untuk memulakan kehidupan baru dan membina negara merdeka yang baru. Akhirnya, UNHCR juga telah berjaya membina pendekatan serantau berkenaan dengan penerimaan dan layanan pelarian sebagaimana yang diadaptasikan dalam Konvensyen OAU 1969 yang mengawalselia Aspek Spesifik tentang Masalah Pelarian di Afrika (Spesific Aspects of Refugee Problems in Africa).

Manakala pada dekad 1970-an, pola pergerakan pelarian menjadi semakin kompleks, disebabkan pertambahan kuantitatif yang begitu ketara. Barangkali masih segar dalam ingatan kita tentang hampir 10 juta pelarian Pakistan Timur yang memasuki India pada tahun 1971, yang akhirnya telah menyaksikan penubuhan sebuah negara baru yang bernama Bangladesh. Walau pun masalah pelarian-pelarian Pakistan Timur ini telah diselesaikan dengan jayanya, namun tidak semua masalah pelarian dapat ditangani dengan pendekatan yang serupa. Lihat sahajalah pelarian-pelarian negara-negara Indo-China, yang sehingga hari ini menjadi semakin kronik dan masih belum dapat diselesaikan.

Fenomena ini tidaklah mengejutkan bahkan sudah dijangka, disebabkan krisis hak asasi manusia yang semakin tidak terkawal, atau pun disebabkan oleh keputusan individu yang memerintah dan mencorakkan tampuk kuasa. Apapun, kebejatan masalah sosial yang semakin parah ini tidak pernah dialami sebelum ini dan jika tidak diambil tindakan yang sewajarnya, akan memberikan kesan yang penuh dramatik dan diluar jangkaan, baik untuk tempoh yang singkat ataupun berkekalan.

Oleh sebab itulah, tatkala sesebuah kerajaan negara bangsa berhadapan dengan permohonan suaka, sudah tentu terlalu sukar untuk membuat keputusan. Menerima permohonan suaka membawa maksud mengiktiraf kedudukan pemohon dan mengundang lebih banyak pendatang baru yang bakal memberikan impak yang besar terhadap struktur sosial sesebuah negara. Menolak permohonan suaka pula membawa maksud mengundang kritikan berpanjangan kerana akan dituduh sebagai tidak berperikemanusiaan dan gagal menyelami semangat melindungi hak asasi manusia dari penganiayaan dan siksaan. Beginilah secara ringkasnya persimpangan dan dilema yang dihadapi oleh sebuah kuasa yang memerintah, bak kata pepatah: “Ditelan terasa pahit, dibuang terasa sayang”.

Benar! Dari kacamata perundangan atau triti antarabangsa, suaka adalah merupakan hak asasi manusia yang dijamin oleh Deklarasi Universal Tentang Hak Asasi Manusia 1948 (Universal Declaration of Human Rights). Artikel 14 (1) dalam Deklarasi tersebut secara jelas menyatakan bahawa “Everyone has the right to seek and enjoy in other countries asylum from persecution” - setiap individu adalah berhak untuk mendapatkan dan menikmati suaka di negara lain dari penganiayaan. Malah hak untuk mendapatkan suaka ini telah lama digubal dan diperuntukkan dalam Konvensyen Geneva terutama melalui Protokol Pertama Konvensyen tersebut tahun 1967. Terbaru sekali ialah iltizam dan komitmen yang ditunjukkan oleh masyarakat antarabangsa pada Sidang Dunia tentang Hak Asasi di Vienna pada 14 – 25 Jun 1993, melalui deklarasi yang dinamakan sebagai “Vienna Declaration and Programme of Action” iaitu melalui perenggan 23 deklarasi tersebut telah ditegaskan bahawa:- “The World Conference on Human Rights reaffirms that everyone, without distinction of any kind, is entitled to the right to seek and to enjoy in other countries asylum from persecution, as well as the right to return to one’s country. It this respect, it stresses the importance of the Universal Declaration of Human Rights, the 1951 Convention relating to the status of Refugees, its 1967 Protocol and its regional instruments. It expresses its appreciation to States that continue to admit and host large numbers of refugees in their teritorries, and to the Office of the United Nations High Commissioner for Refugees for its dedication to its task. It also expresses its appreciation to the United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East”.

Negara-negara Kesatuan Eropah pula telah mengambil langkah pro-aktif dan memperbaharui komitmen mereka, dengan mengimplementasikan satu sistem baru untuk mengawalselia permohonan suaka di rantau itu, sebagaimana yang diisytiharkan pada Sidang Tampere pada tahun 1999, di mana dalam sidang ini, negara-negara Kesatuan Eropah telah mengesahkan pemakaian sepenuhnya Konvensyen Geneva (full and inclusive application of the Geneva Convention).

Di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Germany, Perancis dan negara-negara Kesatuan Eropah (EU), terdapat pelbagai Akta yang digubal khas untuk menangani permasalahan pelarian yang memohon suaka di negara mereka.  Walau bagaimana pun, berdasarkan laporan laman web Lexis-Nexis “Englang and Wales Reported and Unreported Cases” sahaja, daripada 756 kes permohonan suaka yang dilaporkan, lebih 90% daripada permohonan suaka telah ditolak oleh Mahkamah atas pelbagai alasan khususnya yang bersifat teknikal undang-undang dan beban pembuktian serta samada atau tidak permohonan tersebut dapat memenuhi kriteria-kriteria yang digariskan melalui Artikel 3 (1) Konvensyen Geneva.

Dalam konteks negara kita Malaysia, tidak terdapat sebarang Akta khusus yang digubal berkenaan dengan permohonan suaka. Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 walau pun mempunyai intipati hak asasi manusia tetapi tidak langsung mempunyai peruntukan berkenaan dengan suaka. Bahkan Malaysia tidak menandatangani Konvesyen Geneva tersebut. Oleh itu tidak hairanlah jika tidak terdapat satu kes pun yang dilaporkan dalam apa-apa jurnal undang-undang di Malaysia samada Malayan Law Journal, Current Law Journal mahupun All Malaysia Report, yang menyentuh secara langsung tentang prinsip undang-undang bagi permohonan suaka atau undang-undang yang berkaitan dengan suaka politik.

Walau pun demikian, tidaklah bermakna Malaysia tidak mempunyai masalah permohonan suaka. Apatah lagi dengan perkembangan ekonomi Malaysia yang boleh dikatakan sebagai antara yang terbaik di Asia Tenggara boleh mengundang pelarian-pelarian serantau seperti pelarian Rohingya, Acheh, Mindanao dan sebagainya untuk mendapatkan suaka. Tetapi selalunya pelarian-pelarian jenis ini seringkali menceroboh sempadan negara dan memasuki negara ini secara haram. Oleh itu, sekiranya mereka ditangkap dan cuba untuk memohon suaka politik, sudah tentu ianya tidak berhasil kerana akhirnya mereka akan didakwa di bawah Akta Imigresen kerana memasuki negara ini secara haram dan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan, dirotan dan dihantar pulang ke negara asal mereka. Bahkan pindaan terbaru Akta Imigresen (Pindaan) 2002 memperuntukkan hukuman yang lebih berat ke atas kesalahan imigresen.

Dalam bab terakhir perbincangan ini, penulis berhajat untuk merujuk secara spesifik tentang isu yang diperbincangkan di sini iaitu “Suaka:- Penentuan Politik atau Penentuan Kemanusiaan”.

Sungguh sukar untuk melakarkan garisan pemisah antara dua kaedah yang ditawarkan ini. Namun premis penulis adalah jelas iaitu dalam mempertimbangkan permohonan suaka, khususnya dalam konteks negara Malaysia, tidak boleh ada dikotomi, antara penentuan politik mahu pun penentuan kemanusiaan. Mengutamakan penentuan politik membawa maksud mengundang krisis hak asasi manusia yang lebih kronik, bahkan membuka ruang kepada serangan oportunis hak asasi antarabangsa ke atas negara kita. Jika ini dibiarkan berlaku, akan ada pihak di peringkat antarabangsa yang akan menjadikan negara kita sebagai “kambing hitam” dan selanjutnya cuba mengambil kesempatan  untuk campur tangan dalam urusan politik dalaman kita dan sekaligus akan menggugat kedaulatan negara Malaysia yang tercinta. Keadaan ini sudah tentu akan mengundangkan krisis berpanjangan dan hanya akan mengundang negara kita ke dalam satu konflik di mana “yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu”. Bukankah kita sedia maklum, bahawa selepas tamatnya Perang Dingin, dunia hari sifatnya adalah Unipolar? Hanya satu kuasa yang memerintah dunia – Amerika Syarikat!

Sekiranya kita memilih “penentuan kemanusiaan”, dan mengenepikan “penentuan politik”, sudah tentu keputusan tersebut adalah tidak bijak dan akan meletakkan negara kita sebagai “kera sumbang”. Apatah lagi dalam konteks semangat setiakawan di kalangan negara-negara serantau seperti rakan-rakan dalam Asean. Lebih memburukkan ialah jika pelarian yang memohon suaka telah melakukan keganasan dan melanggar pelbagai undang-undang di negara mereka, lantas menceroboh masuk ke Malaysia dan cuba memohon suaka. Atas pertimbangan kemanusiaan semata-mata, sudah tentu kita perlu melindungi mereka. Kalau kita melindungi Nur Misuari hanya atas pertimbangan kemanusiaan, kita akan mengundang konflik dengan kerajaan Filipina dan menggamit prejudis negara-negara lain. Kalau kita bersimpati dengan pelarian-pelarian Acheh, hanya atas dasar hubungan insani, maka tunggulah saatnya konfrontasi kedua dengan Indonesia akan berlaku. Jika ini berlaku, sudah tentu jiran kecil yang sentiasa dengki dan irihati iaitu Singapura, akan mengambil kesempatan untuk ‘menyiram petrol ke dalam api yang sedia membara”. Begitulah dalam kes pelarian-pelarian lain seperti Rohingya, Selatan Thailand dan sebagainya.

Oleh yang demikian, sekali lagi diulangi bahawa premis yang baik dan wajar dalam membahaskan isu ini ialah antara penentuan kemanusiaan dan penentuan politik, tidak boleh ada dikotomi. Ia perlu berjalan serentak dan imbangan antara kedua-dua penentuan ini, dalam memutuskan permohonan suaka, hendaklah diambil kira dan dilaksanakan.

Inilah pendekatan dan kaedah yang diambil oleh kerajaan Malaysia dalam kes-kes suaka. Pendekatan umpama “menarik rambut dari adunan tepung”. Inilah imbangan penentuan yang telah dipertontonkan, terutamanya dalam kes yang  paling rumit untuk diselesaikan yang melibatkan kerajaan Malaysia dan Filipina, iaitu kes Nur Misuari yang berlaku pada bulan November 2001.  Walau pun Nur Misuari pernah kita sanjung, bahkan Malaysia memainkan peranan penting dalam kejayaan rundingan antara Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dan Kerajaan Filipina pada 1996, sehingga tertubuhnya Wilayah Autonomi Islam Mindanao dan Nur Misuari sendiri telah dilantik sebagai Gabenor. Harus diingat bahawa Malaysia pernah memberi perlidungan kepada Nur Misuari pada dekad 1970-an sewaktu berjuang menentang kerajaan Filipina. Tetapi apabila Nur Misuari melakukan kesilapan dengan mengistiharkan perang ke atas kerajaan Filipina, hanya untuk menutup kelemahan pemerintahannya, dan menceroboh masuk ke Malaysia tetapi telah ditangkap bersama enam lagi pengikutnya di Pulau Jampiras berhampiran Sandakan, Sabah pada 23 November 2001. Nur Misuari kemudiannya telah memohon untuk mendapatkan suaka di Malaysia, tetapi sebagai kerajaan yang berdaulat, sudah tentu permohonan ini perlu ditolak.

YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad (bekas) pada 23 Disember 2001, sewaktu mengumumkan penolakan permohonan suaka politik oleh Peguam Nur Misuari, dengan tegasnya menyatakan: “kita telah memutuskan bahawa mereka yang melakukan keganasan di negara sendiri dan menggunakan rakyat biasa sebagai tebusan tidak akan diberikan suaka”. Kenyataan ini jelas menggambarkan pendekatan Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia dalam isu permohonan suaka, telah mempertimbangkan kedua-dua iaitu antara penentuan politik dan penentuan kemanusiaan. Selanjutnya Perdana Menteri menegaskan: “Kita juga berharap kerajaan Filipina akan menerima beliau secepat mungkin sebab kita tidak boleh menahannya begitu lama”.

Berdasarkan adunan-adunan sejarah, fakta dan statistik serta hujahan yang telah diutarakan di atas, maka dapat kita cerakinkan bahawa dalam isu suaka, penetuan politik dan penentuan kemanusiaan mesti berjalan serentak, dan memilih salah satu daripadanya adalah tidak wajar.

Akhirnya, kita juga sedar bahawa persoalan suaka perlu dilihat hingga ke akar umbinya. Persoalan yang lebih besar perlu dijawab dan tindakan yang sewajarnya untuk menyelesaikan kemelut pelarian dan pemohon suaka perlu dilakukan. Atas imbangan politik, kemanusiaan dan undang-undang, persoalan suaka tidak harus dilihat dalam kepompong yang terasing, bahkan punca kepada segala permasalahan ini perlu dicantas dan dibereskan. Keganasan dalaman perlu dielak dan dikurangkan. Konflik bersenjata perlu dihapuskan. Perang saudara atau perang antara negara bangsa perlu dihentikan. Masalah kebuluran perlu dihulurkan pertolongan. Kegawatan ekonomi, kemiskinan, dan buta huruf perlukan perhatian. Hanya apabila ini dilakukan, kita mampu menyelesaikan permohonan suaka dan masalah pelarian. Benar! Kita bukanlah Tuhan untuk menentukan segala percaturan, tetapi sebagai hamba dan insan yang mendiami dan berkongsi kehidupan di bumi, berbudi dan berbakti sesama insan adalah sifat yang paling mulia dan terpuji.

 


 

 

Laman utama | Profil | Produk | Makalah | Tinta Emas | Buletin | Galeri | Arkib | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian