|
||||||||||||
|
| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam | |
||||||||||||
|
||||||||||||
|
MENANTI KELAHIRAN "ADAM"
Oleh: Wan Rohimi Bin Wan Daud
Justeru untuk analisa tulisan ini, izinkanlah saya merujuk Debat Piala Diraja 1995 sebagai asas kepada permulaan kejohanan debat yang terancang dan konsisten serta mempunyai lakaran sejarah yang masih boleh dinukilkan jika semua bekas-bekas pendebat bersatu tenaga untuk membina satu tinggalan legasi dunia debat, bagi tatapan dan pedoman anak bangsa kita yang kini masih terkapai-kapai mencari erti sebenar debat dan perjuangannya! Jika saya mengambil tahun 1995 sebagai titik permulaan bagi tujuan tulisan ini (dan tentunya boleh dikemaskinikan berdasarkan maklumat yang boleh dikongsikan oleh bekas-bekas pendebat pra-1995), dan saya andaikan bahawa setiap universiti telah mengeluarkan seramai 4 orang produk debat sejak 1995 (katakanlah 10 pasukan universiti yang aktif debat sehingga 1999), maka dari 1995 hingga 1999 kita telah mempunyai 200 bekas pendebat. Jika selepas itu, dengan pola 4 produk debat yang menjadi graduan universiti masing-masing sejak 2000 hingga 2006 (katakanlah bilangan universiti bertambah menjadi 15 buah universiti yang aktif debat), maka kita sudah mempunyai 420 bekas pendebat. Keseluruhannya hingga kini, mungkin lebih daripada 620 orang bekas pendebat telah bertebaran di seluruh alam maya, yang hidupnya tiada dapat dikesan, dan matinya tiada juga kita ketahui akan kuburnya! 620 orang, atau 1000 orang, atau pun mana-mana angka yang sesuai adalah satu kekuatan besar bagi dunia ilmu dan dunia intelek seperti debat ini. Sukarno pada zaman pemerintahannya hanya meminta 10 pemuda untuk dikaderkan, bagi menggegarkan dunia, tetapi dunia debat sudah memiliki hampir 1000 insan terpilih tetapi kini hilang dan lesap membawa haluan hidup masing-masing. Sehingga kini, MADUM sudah berumur lebih dari 10 tahun tetapi seperti dijangka, MADUM masih belum bermaya untuk menggerakkan satu agenda bangsa untuk mengembalikan kekuatan dunia debat yang telah lama menghilang ini. Yang pasti Ketua Hakim pertandingan akhir mana-mana pertandingan pun akan memuji dan memuja sesuatu pertandingan tersebut dengan komen-komen “pertandingan ini cukup sengit”, “mutu lebih baik dari tahun lepas”, “kami panel hakim cukup sukar untuk membuat keputusan” dan bermacam-macam lagi skrip yang sudah pasti saya dan anda tidak akan gagal mendengarnya. Yang pasti lagi, saban tahun akan sentiasa ada “Anugerah Pendebat Terbaik” “Hakim Kelas Tertinggi” dan macam-macam lagi anugerah, walau kualiti debat merudum! Di sebalik kekeliruan mutu debat, MADUM kelihatan mengesahkan kekeliruan dengan memberikan pengiktirafan yang songsang, dan dengan itu akan terus menyumbangkan kepada kebejatan dunia debat. Tidaklah saya berhajat untuk menyerang MADUM, tetapi saya tiada tertahan lagi melihat kegagalan kita memanfaatkan institusi penting seperti MADUM ini, dengan segala kemudahan dan sokongan kewangan yang ada, untuk merencanakan satu agenda yang lebih besar dari hanya menjadi pegawai yang mengiringi pasukan ke pertandingan debat semata-mata, atau hanya menjadi maskot bagi universiti masing-masing bagi setiap kali mesyuarat MADUM dijalankan. Saya sengaja melontarkan pandangan ini, supaya semua kita merasa terpanggil, terutama bagi mereka yang diamanahkan untuk membangunkan debat melalui MADUM supaya mengambil inisiatif yang lebih bugar, dengan melihat secara lebih halus dan jauh, tentang punca keciciran minda dalam debat di kalangan generasi muda hari ini, dan bertindak untuk menyediakan rawatan yang sebaiknya. Dunia debat tidak akan gemilang, jika badan induk yang menaunginya bersifat ‘hidup segan mati tak mahu’, malah lebih teruk lagi sentiasa memberikan ‘pengesahan songsang’ kepada sesuatu yang akan merosakkan mutu dan kualiti debat. Akhirnya, MADUM hanya dilihat sebagai satu badan yang menjalankan fungsi ‘ritual’ semata-mata, dan jauh sekali menyelami intipati sebenar tentang pembinaan tamadun ilmu melalui seni debat. Baiklah, untuk berlaku adil, biarlah saya tunjukkan jalan keluar buat MADUM, barangkali untuk membolehkan proses “outsource” fungsi MADUM dapat dilakukan dengan berkesan dan dengan itu, fungsi asal MADUM dapat dijayakan. Di awal tulisan ini saya mengandaikan sebuah angka dan statistik longgar berkenaan dengan graduan-graduan debat yang telah keluar dari universiti masing-masing, dan langsung melupakan dunia debat atas pelbagai alasan. Kehilangan mereka amat merugikan dunia debat dan mencacatkan perkembangan kehakiman, kejurulatihan dan kemantapan ilmu dan teknik-teknik perdebatan. Walau pun masih ada dua tiga kerat bekas-bekas pendebat yang masih aktif, lambat laun yang ada kini akan tetap layu dimamah desakan hidup. Justeru, amatlah wajar pada ketika ini, satu kerangka dan cadangan menubuhkan Alumni Debat Universiti Malaysia ditubuhkan di bawah MADUM. Nama yang dicadangkan ini hanyalah khayalan saya semata-mata untuk tujuan tulisan ini. Dan untuk memudahkan rujukan, Alumni Debat ini saya rujuk sebagai “ADAM”. Singkatan ADAM hanyalah rekaan saya semata-mata berdasarkan huruf awal setiap perkataan dengan menggunakan perkataan jawi, dan bukannya jawa! ANALISA KEPERLUAN Harus diingat bahawa penubuhan ADAM bukanlah idea saya. Tidak molek saya mengaku sebagai idea saya bagi sesuatu yang tidak saya miliki keasliannya. Tidak salah ingatan saya, idea penubuhan ADAM ini telah diwar-warkan sejak 3 tahun dulu oleh bekas-bekas pendebat dari banyak universiti, dan dari kalangan mereka ramai yang masih aktif menghadiri dan mengikuti perkembangan dunia debat kini. Saya juga difahamkan, pernah satu ketika borang-borang keahlian juga diedarkan di beberapa pertandingan tetapi akhirnya senyap sunyi tanpa berita. Tanpa prejudis kepada motif awal cadangan ini, saya menyokong usaha penubuhan ADAM ini, dan memahami kenapa ia masih belum menjadi kenyataan sehingga kini. Oleh itu, tulisan ini hanyalah satu bentuk rekod yang saya jelmakan secara lebih terperinci tentang keperluan penubuhan ADAM untuk disegerakan. Bahkan, diruang debat maya AD juga banyak desakan dan permintaan supaya ADAM dapat direalisasikan dan dijelmakan dengan kadar yang segera. Asasnya ADAM akan dapat memanggil kembali bekas-bekas pendebat, tua dan muda untuk kembali ke dunia lama mereka, bagi mencurahkan kembali pengalaman dan ilmu yang pernah dikuasai mereka satu ketika dulu. Dengan penubuhan ADAM ini, saya yakin satu database berkenaan dengan maklumat-maklumat bekas-bekas pendebat yang lengkap dan menyeluruh akan dapat dikumpulkan dan dengan itu, akan memudahkan jemputan-jemputan sebagai hakim pertandingan debat, seminar debat, motivasi debat, kejurulatihan dan paling penting akan menghubungkan kembali silaturrahim yang telah lama terputus dari kalangan bekas-bekas pendebat. Dalam apa keadaan pun, saya berpendapat bahawa penubuhan ADAM perlu bertitik tolak atas restu dan inisiatif awal MADUM. MADUM perlu meluluskan satu usul untuk menubuhkan sekretariat ADAM, yang mungkin boleh menjadi satu sayap penting kepada MADUM dan melantik sesiapa sahaja untuk merangka satu jawatankuasa penaja bagi merealisasikan penubuhan ADAM. Saya fikir, MADUM mempunyai ramai pengerusi penaja yang berwibawa untuk mengetuai pasukan penaja bagi menubuhkan ADAM. Nama-nama seperti En. Mohd Nazri Noh (UPM), Dr. Ramzah Dambul (UMS), Dr. Fuad Othman (UUM) dan lain-lain lagi boleh diketengahkan untuk menjayakan misi ini. MADUM juga perlu mengambil inisiatif untuk turut sama mempromosi penubuhan dan keahlian ADAM melalui mana-mana pertandingan debat atau majlis makan malam yang bersesuaian untuk memberikan impak yang lebih besar kepada kelancaran penubuhan tersebut. Selepas menamakan wakil atau pengerusi penaja, jawatankuasa penuh penaja boleh dipilih dari semua universiti atau mana-mana yang berkenaan untuk menyediakan deraf perlembagaan dan seterusnya berhubung dengan Pendaftar Pertubuhan bagi proses pendaftaran, sebelum jawatankuasa penuh dapat dilantik melalui mesyuarat agung, setelah menerima sijil kelulusan pendaftaran daripada Pendaftar Pertubuhan. Proses ini walau pun nampak mudah, tetapi akan mengambil masa (dari tarikh penyerahan borang permohonan) selama 1 hingga ke 2 tahun. Berdasarkan pengalaman peribadi saya selaku Setiausaha Penaja untuk menubuhkan Alumni Debat UIAM pada tahun 2002, kelulusan hanya diberikan selepas 1 tahun 8 bulan permohonan dihantar ke pejabat Pendaftar Pertubuhan. Dalam tempoh itu, lebih dari 7 kali mesyuarat dipanggil oleh Pendaftar Pertubuhan untuk membetulkan pelbagai perkara, terutama yang melibatkan perlembagaan. Terkadang, untuk betulkan satu dua noktah dan koma kami dipanggil untuk buat pindaan. Saya menyatakan bahawa penubuhan ADAM ini hendaklah mendapat ‘endorsmen’ awal daripada MADUM sebagai menunjukkan satu otoriti yang jelas tentang kesediaan MADUM untuk menyediakan satu ‘pengesahan’ kepada ADAM sebagai sebuah sekretariat MADUM. Dengan itu akan memberikan satu keyakinan kepada umum bahawa ADAM yang bakal ditubuhkan adalah satu badan alumni debat yang sifatnya non-partisan dan menyeluruh dengan objektif yang spesifik, berbanding sekiranya ia hanya dicadangkan oleh kelompok tertentu semata-mata, apatah lagi jika hanya mewakili satu dua peringkat umur sahaja. Tentulah ADAM yang bakal ditubuhkan adalah bertujuan untuk mengumpul semua bekas pendebat sejak 1995 (atau lama sebelum itu) sehingga graduan semasa. FUNGSI ADAM Ada baiknya juga kita melihat fungsi ADAM yang boleh dijelmakan bagi membantu MADUM melaksanakan matlamat penubuhannya, dan bagi tujuan tulisan ini, mungkin boleh saya ringkaskan kepada dua perkara seperti berikut:- 1. PENGHAKIMAN DEBAT Tidak dapat dinafikan, antara kekurangan dan kecacatan utama MADUM di kala ini ialah untuk menyediakan hakim-hakim yang berwibawa bagi mengadili sesuatu pertandingan. Masalah kekurangan hakim ini akan sentiasa menghantui MADUM setiap kali musim pertandingan debat, terutama bagi debat-debat yang tidak memperuntukkan sebarang elaun hakim seperti Debat Piala Diraja (kerana tidak mempunyai kewangan yang mencukupi). Akhirnya MADUM terpaksa memilih pendekatan mengambil dan melatih hakim “Mee Segera”. Apa yang saya maksudkan dengan hakim mee segera ialah menjemput individu yang tidak pernah kenal erti debat sepanjang kehidupan mereka, atau yang hanya tahu tetapi tidak pernah terlibat dengan debat, atau tidak pernah menghayati pertandingan debat, atau tidak pernah menyertai apa-apa pertandingan debat, atau hanya menjadi penonton pertandingan debat samada sebagai presiden kelab penyokong mahupun sebagai ‘penentu’ tema warna baju, atau yang sezaman dengannya, dipanggil oleh MADUM mungkin atas kapasiti individu tersebut sebagai seorang pegawai universiti, atau namanya dicalon dan dicadangkan oleh pegawai universiti yang berkenaan disebabkan hubungan ipar duai mahu pun kroninya sahaja. Individu-individu tersebut kemudiannya hanya hadir ke sesi taklimat ringkas baik berbentuk sejam dua, mahu pun setengah hari, dan kemudian dilepaskan menjadi hakim untuk menentukan kalah menang sesebuah pasukan. Apa yang anda harapkan dengan hakim sedemikian? Secara jujurnya, saya pernah menjadi ketua hakim bersama dua orang pegawai universiti yang menjadi hakim mee segera dalam satu pertandingan debat, bilamana saya meminta keputusan, seorang disebelah kiri saya memberikan keputusan yang bercanggah dengan markahnya sendiri, seorang lagi di sebelah kanan langsung tidak tahu apa itu margin (dan saya terpaksa membetulkan markahnya untuk menentukan margin sebenar), apa itu premis.. hmmm! Tetapi pendebat terkulat-kulat tunduk kepada hakim mee segera ini seolah-olah kami semua adalah pakar dalam debat. Persoalannya, sampai bila para pendebat dianiaya sedemikian (walau pun tanpa pengetahuan mereka)? Apakah masalah akan berterusan untuk sepuluh tahun lagi? Justeru, jalan terbaik dan paling efektif ialah mengembalikan Alumni untuk mengisi kelompangan itu. Benar, tidak semua alumni akan bersedia berkhidmat bilamana diminta, tetapi jika 1/10 dari ahli ADAM kembali menghiasi pertandingan, bukankah itu sudah lebih dari memadai?! Benar, tidak semua ADAM adalah pendebat yang berwibawa pada zaman mereka, tetapi sekurang-kurangnya mereka dapat menghayati roh dan semangat debat serta sedikit sebanyak masih mempunyai kerangka pemikir sebagai seorang pendebat untuk ditugaskan membuat keputusan penting. 2. PENGISIAN MINDA PENDEBAT Apa yang lebih penting sebenarnya ialah membina dan mengisi minda anak bangsa kita untuk menjadi seorang pendebat yang baik. Selama lebih 10 tahun ini, saya hampir tidak pernah mendengar MADUM mengadakan satu kursus atau seminar atau program-program ilmu untuk memperkasa minda pendebat. Saya berpendapat peranan ini dapat dimainkan oleh ADAM secara berkesan, melalui penganjuran kursus mahupun seminar kepada mana-mana pendebat yang berkeinginan untuk meneroka seni debat dengan lebih jauh sebagai satu acara tahunan. Mungkin selepas sesuatu Debat Piala Diraja (yang selalu menjadi penutup kalendar pertandingan debat bagi setiap tahun), satu program ilmu dapat diadakan kepada semua para peserta debat untuk menilai semula keseluruhan pertandingan, post mortem dan analisa kekuatan serta kelemahan para pendebat dan juga pasukan-pasukan yang bertanding, dan dengan itu diharap dapat memberikan satu pedoman langsung kepada semua pendebat. Perkampungan debat seperti ini tentu dapat merungkaikan ‘ketegangan’ sesama peserta debat yang kerjanya hanya ‘berlawan’ antara satu sama lain sepanjang setahun. Pada perkampungan ini, ruang-ruang masa yang ada hendaklah dipupuk sebaik mungkin untuk mengembalikan hubungan sosial antara individu peserta mahu pun pasukan. Jika sebelum ini, ketegangan akan sentiasa wujud kerana pertemuan pendebat hanya menjelang pertandingan, sudah pasti melalui perkampungan debat sebegini, suasana pertemuan mereka akan lebih tenang kerana masing-masing hadir mencari kelemahan diri dan cuba untuk menimba ilmu sebaik yang mungkin. Jika modul, perencanaan dan kejurulatihan debat dapat dikendalikan sebaik mungkin sepanjang program perkampungan debat tersebut, saya percaya satu denai gemilang akan berjaya diterokai untuk faedah anak bangsa kita, dan dengan itu matlamat MADUM dan kita semua akan dapat direalisasikan, Insya Allah! |
||||||||||||
|
||||||||||||