|
||||||||||||
|
| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam | |
||||||||||||
|
||||||||||||
|
SOROTAN DEBAT KEMERDEKAAN 2006
9/10/2006: Akhirnya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sah dinobatkan Juara Pertandingan Debat Kemerdekaan 2006. Kemenangan itu pastinya amat manis buat pasukan UTM kerana berjaya menumpaskan Universiti Malaya (UM), lawan sama yang menumpaskan mereka pada perlawanan akhir Debat Integriti Perdana. Kemenangan dengan keputusan juri 5-2 itu jelas menggambarkan penguasaan UTM dalam pertandingan akhir kali ini. Perlawanan Akhir itu juga menandakan dunia perdebatan universiti Malaysia akan berehat buat seketika sebelum ditutup dengan Pertandingan Debat Piala DiRaja, pertandingan terulung untuk debat Bahasa Melayu. Banyak catatan menarik yang boleh dijadikan panduan sepanjang Debat Kemerdekaan yang lalu. Pertamanya, cara membawa pendekatan dan mengupas sesuatu usul agar membawa kelebihan kepada pasukan yang bertindak sebagai Kerajaan. Mengambil contoh perlawanan akhir, secara peribadi saya merasakan bahawa faktor utama kekalahan Universiti Malaya adalah pendekatan mereka yang “menentang sentimen” jasa kerajaan. Usul yang berbunyi “Setelah 49 Tahun Merdeka, Minda Kita Masih Kelas Ke-3” itu telah memerangkap pasukan Universiti Malaya. Benar, dalam usul seperti itu pihak Kerajaan patut meletakkan “kesalahan” memiliki minda kelas ketiga itu kepada seseorang atau kelompok. Oleh kerana usul merujuk kepada “minda kita”, maka pilihan yang ada pada Kerajaan adalah untuk mendefinisikan kita sebagai Kerajaan atau rakyat. Ternyata pasukan UM “menentang sentimen” apabila memilih untuk menyatakan bahawa Kerajaanlah yang memiliki minda ketiga itu. Hujah-hujah ekstrem seperti kecaman terhadap Menteri Kabinet dan pengenalan dasar Bahasa Inggeris oleh Kerajaan memperlihatkan UM sebagai pasukan yang menentang aspirasi Kerajaan. Di sinilah masalah “menentang sentimen” yang saya maksudkan berlaku. Ingin saya tegaskan bahawa pembawaan kes UM tidak salah, tapi dalam sesuatu perdebatan yang bersifat pertandingan, dirasmikan oleh ahli kabinet, ditonton oleh pelatih-pelatih khimat negara, dan dianjurkan oleh jabatan Kerajaan, sentimen mereka pada hari itu jelas bertentangan dengan “selera” hampir semua yang saya sebutkan di atas. Seharusnya pasukan UM membawa sentimen yang lebih “mengenang jasa kerajaan” dengan meletakkan rakyat Malaysialah sebenarnya golongan yang masih berada pada “minda kelas ke-3”. Lagipun, saya amat percaya bahawa usul ini diilhamkan dari ucapan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menegur sikap rakyat yang masih berfikiran kelas ke-3 walaupun Kerajaan telah menyediakan prasarana kelas pertama. Dalam keadaan itu, ditambah dengan kecekapan UTM untuk memainkan sentimen pembangunan dengan baik, keputusan perlawanan itu adalah yang terbaik untuk kedua-dua pasukan. Kepada pendebat di luar sana, selain daripada mampu membina konsep dan pendekatan yang baik, elemen sentimen semasa perdebatan amat perlu diambil kira. Anda boleh melandaskan sentimen perdebatan anda kepada beberapa perkara seperti kepada penganjur, VIP yang datang menyaksikan perlawanan akhir, penonton dan tentunya pihak juri. Bagaimana mahu memainkan sentimen itu, saya kira sebagai pendebat yang berpengalaman anda tentu lebih arif dari saya untuk meyakinkan juri dan khalayak penonton untuk menerima pendekatan dan konsep yang anda bawa. Debat Kemerdekaan kali ini juga memperlihatkan kebangkitan pasukan Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM). Jarang dilihat sebagai pencabar utama, pasukan ini berjaya memperlihatkan kejaguhan apabila layak ke peringkat Separuh Akhir. Kejayaan KUIM pada kali ini bukanlah atas faktor tuah semata-mata. Mereka membuktikan kejaguhan dengan berada pada ranking ke-2 semasa saringan. Pasukan KUIM juga dilihat sebagai pasukan yang seimbang apabila pendebat-pendebat mereka berada pada kedudukan ke-5, ke-6 dan ke-16 dalam senarai pendebat terbaik liga. Saya amat percaya sekiranya KUIM meneruskan usaha dan momentum yang mereka miliki pada pertandingan Debat Kemerdekaan yang lalu, tentu mereka akan berjaya menghasilkan sesuatu yang membanggakan dalam Kejohanan Debat Piala DiRaja nanti. Seperkara yang harus diingat kepada semua pendebat, senarai kedudukan ranking yang dikeluarkan perlu dianalisa dengan baik. Daripada senarai itu, kita boleh mengenalpasti konsistensi pasukan sendiri dan manganalisa kekuatan dan kelemahan lawan. Tidak mengapa sekiranya tiada seorangpun daripada ahli pasukan berada di kedudukan pertama kerana adalah lebih baik setiap ahli pasukan berada di kedudukan 5, 6 dan 10 daripada ada yang berada di tempat pertama tetapi ahli lain berada di kedudukan 7 dan 13. Selain KUIM, pasukan UMS juga berjaya menunjukkan konsistensi mereka dan harus diberikan perhatian. Kejayaan mereka layak ke peringkat separuh akhir dalam dua kejohanan (Integriti dan Alam Sekitar) dan layak ke suku akhir Debat Kemerdekaan jelas menunjukkan kewibawaan pasukan Negeri Di Bawah Bayu ini. Jelas sekali generasi baru pendebat UMS mahu mengekalkan tradisi dan label “jagoan” debat universiti itu yang telah dibawa oleh pendebat terdahulu. Harus diingat, bahawa UMS adalah salah satu dari janya 2 pasukan yang pernah menakluk kesemua 3 “Piala Utama” perdebatan di Malaysia (Piala DiRaja, Alam Sekitar dan Kemerdekaan). Pendatang baru debat IPT, Universiti Darul Iman (UDM) juga telah menunjukkan potensi yang amat besar dalam pertandingan ini. Saya yakin dengan bimbingan jurulatih mereka Mohd. Syatir Bin Talib, pasukan ini akan mampu menyinar sedikit masa lagi. Bagi pasukan UKM dan UPM, tempoh transformasi pendebat muda mereka diharap tidak terlalu lama kerana sebagai pasukan yang pernah bergelar jagoh, resipi dan rencah kejayaan pastinya tidak pernah mereka lupakan. Sesungguhnya tradisi dan reputasi kejayaan mereka akan kembali semula dengan generasi baru yang mereka miliki. Seperti yang diakui dalam forum “debat maya” akademidebat.com, tradisi kecemerlangan dan memelihara status jaguh itulah yang akan menjadi pendorong terbaik mencapai kecemerlangan. Bagi wakil dari IPTS pula, dunia debat semakin merindui kejagohan yang pernah ditonjolkan oleh UNITEN sedikit waktu dahulu. Adalah lebih menarik jika kecemerlangan UNITEN di awal pembabitannya dalam arena debat universiti dijelmakan semula bukan sahaja oleh generasi baru pendebat UNITEN, bahkan oleh IPTS lain seperti UTP dan MMU. Tentunya dunia perdebatan akan lebih menarik dengan suburnya pasukan-pasukan yang berkualiti dan terbaik. Buat masa ini, rasanya hanya pasukan UTP sahaja yang mewakili rakan-rakan IPT lain untuk layak ke pusingan kalah mati (Debat Alam Sekitar). Sesungguhnya dunia perdebatan di Malaysia sekarang ini memperlihatkan kekuatan yang agak seimbang pada setiap pasukan. Hakikat betapa pada tahun ini sahaja kita telah melihat 3 pasukan silih berganti merajai takhta kejuaraan (UM untuk Debat Integriti, UIAM untuk Debat Alam Sekitar, dan UTM untuk Debat Kemerdekaan) adalah faktor jelas bahawa Kejohanan Debat DiRaja akhir tahun ini boleh menjadi milik sesiapa sahaja. Walaupun perkara ini bukan mustahil, masih banyak yang perlu dilakukan oleh generasi pendebat sekalian. Hakikat kita memiliki 3 juara yang berbeza seharusnya tidak menjadikan kita lupa bahawa hanya ada satu pasukan (UM) sahaja yang sentiasa berada pada setiap pentas pertandingan akhir itu. Cemburuilah UM kerana kejayaan mereka tetapi dalam masa yang sama hormatilah mereka kerana berupaya menjadi pasukan “terkuat” atau sekurang-kurangnya paling “stabil” pada ketika ini. Luahkan rasa cemburu untuk berazam menyamai ataupun mengatasi mereka dalam pertandingan yang akan datang. Tanamkan rasa hormat untuk kita semua menginsafi bahawa tiada jalan mudah yang diambil untuk sampai ke tahap mereka. Apabila kedua-dua perasaan cemburu dan hormat ini disalurkan secara positif, percayalah! kejayaan yang dimiliki UM pada hari ini juga boleh dimiliki oleh UNIMAS, KUSTEM, KUKTEM, UUM atau mana-mana pasukan yang berusaha untuk mencapainya. Jadikan bulan Ramadhan yang bakal mennjelang sebagai permulaan mengkaji maklumat, mendalami fakta dan mengasah kemahiran berfikir sebagai pendebat handalan. Semoga pada suatu hari, kita boleh berbangga kerana menjadi generasi pendebat yang berilmu, intelek dan dihormati. Zairul Isham Abdul Malik Kuala Lumpur.
|
||||||||||||
|
||||||||||||