akademidebat.com makalah

   

| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam |

       
 

MAKALAH | Dari Mata Burung

   
 

 

        MEMPERKASA SISTEM PENJURIAN DEBAT

Oleh: Zairul Isham Abdul Malik

8/3/2007 - Bila berbicara dan berbincang tentang peningkatan mutu dan kualiti perdebatan, seringkali kita melupakan kepentingan dan peranan besar yang perlu didokong oleh panel juri yang menghakimi setiap pertandingan. Mencapai kecemerlangan dalam dunia debat di Malaysia bukan hanya tanggungjawab para pendebat, jurulatih mahupun pegawai pengiring semata-mata bahkan khalayak manusia yang memegang amanah sebagai juri turut mempunyai peranan tersendiri.

Seperti yang pernah disentuh oleh rakan saya saudara Wan Rohimi dalam tulisan beliau, ketinggian ilmu dan kualiti hujah yang dibawa oleh pendebat tidak akan dapat dinilai dan dihargai andainya kita memberikan amanah untuk menentukan kemenangan pada pihak yang tidak sepatutnya. Masyarakat debat pada hari ini harus melihat peranan juri pertandingan dalam aspek yang lebih luas dan besar, bukan hanya menjadi penentu untuk memilih pasukan yang akan diberikan kemenangan. Dalam sistem perdebatan yang dijalankan di Malaysia sekarang, perincian kepada sistem penjurian yang tepat, telus dan berkualiti seakan diabaikan. Jika senario ini berterusan, maka harapan dan cita-cita untuk melihat peningkatan mutu dan kualiti debat akan hanya tinggal impian. 

          Sebagai contoh dalam perdebatan peringkat universiti, daripada 5 kejohanan utama bertaraf lima bintang yang diadakan saban tahun hanya satu sahaja yang dianjurkan dan dikelolakan penjurian sepenuhnya oleh MADUM. Selebihnya, pihak penganjur akan terlibat bersama dalam sistem penjurian. Kerjasama seumpama ini amat sihat dan harus dipuji kerana kita akan berjaya membudayakan seni debat melangkaui sempadan IPT dan melahirkan ramai juri yang mempunyai platform berkecuali. Namun, walaupun saban tahun penganjuran dilakukan dengan institusi yang sama, usaha MADUM dalam memberikan penerangan dan kursus penghakiman yang berkualiti dilihat masih jauh dari mencapai matlamat. Atas faktor inilah pada banyak keadaan kita terdengar rungutan terhadap keputusan-keputusan yang diberikan oleh juri dalam sesuatu pertandingan terutamanya dalam pusingan kalah mati. Saya kira daripada 5 pertandingan utama di peringkat universiti (Debat Integriti Perdana, Debat Alam Sekitar, Debat Kemerdekaan, Debat Piala DiRaja dan Debat IKIM) Debat IKIM menggunakan kaedah penjurian yang berbeza dan tidak langsung diseliakan oleh MADUM. Di sinilah sebenarnya masalah memartabatkan institusi penjurian dalam arena debat bermula.  

          Dalam kertas penjurian perdebatan yang standard, pemarkahan akan diberikan seperti berikut 40% untuk isi, 30% untuk gaya dan 30% untuk bahasa. Pecahan pemarkahan ini adalah yang terbaik dan diiktiraf serta digunapakai sehingga peringkat perdebatan Dunia. Berdasarkan pecahan markah untuk mengadili setiap pendebat, jelas sekali tumpuan diberikan kepada isi tanpa mengabaikan kepentingan gaya dan bahasa untuk memberikan kemenangan kepada mana-mana pasukan. Namun dalam debat yang penjuriannya tidak langsung dikelolakan MADUM, penghakiman dilakukan mengikut cara 100% isi, 100% gaya dan 100% bahasa. Sekali pandang kaedah ini amat muluk dan cantik apatah lagi juri yang dipilih untuk menghakimi setiap elemen diberitakan adalah pakar dalam bidang masing-masing. Mungkin kita boleh bersetuju bahawa hakim yang mengadili dan menghakimi isi adalah seorang pakar kerana dijemput untuk menjurikan usul yang berkaitan dengan kajian, portfolio atau jabatan yang mereka ketuai. Kita juga akan bersetuju jika hakim bahasa itu dikatakan seorang pakar jika didatangkan khas dari Dewan Bahasa dan Pustaka. Tetapi bagaimana pula kita mahu mengukur kepakaran hakim yang menilai hanya dan hanya semata-mata gaya dan persembahan? Kita boleh menerima hakim ini pakar jika datangnya dari MADUM, tetapi hakikatnya tidak seorang pun hakim MADUM yang diberi taraf “pakar” walaupun untuk menghakimi aspek gaya dan persembahan.

           Lanjutan dari pemilihan pakar inilah, maka kita dihidangkan dengan keputusan perdebatan yang mengelirukan. Kita melihat pasukan yang menyampaikan isi dan persembahan yang baik tewas di tangan pasukan yang kurang isi dan tidak menarik persembahannya tetapi cantik bahasanya. Semuanya gara-gara kita melepaskan tanggungjawab menjaga peraturan perdebatan ke tangan individu yang sebenarnya tidak tahu pun apa sebenarnya yang ingin dilihat dalam perdebatan. Saya mencadangkan agar MADUM membuat satu peraturan wajib untuk semua pertandingan menggunakan pecahan 40-30-30 dalam penghakiman mereka. Jika hanya kerana bahasa yang baik sahaja kita sudah boleh mengiktiraf sesebuah pasukan sebagai juara dan mengabaikan kelemahan isi dan persembahan, adalah lebih baik kita menganjurkan pertandingan menulis novel atau essei kerana ia lebih bersesuaian. Jangan hanya semata-mata hadiah yang ditawarkan penganjur terlalu lumayan maka kita terpaksa mengenepikan segala peraturan dan keaslian pemarkahan debat.

           MADUM juga seharusnya menganjurkan kursus penghakiman yang sistematik terutama dalam melahirkan hakim kelas tertinggi dari kalangan rakan penganjur seperti Jabatan Alam Sekitar, Institut Integriti, Arkib Negara, mahupun kepada bekas-bekas pendebat universiti. Perkara ini tidak mustahil dilakukan kerana kalendar perdebatan di Malaysia seolah-olah berhenti rehat dari bulan Mac hingga akhir Jun setiap tahun. Dengan hubungan erat antara MADUM dan pihak Penganjur serta kesediaan para bekas pendebat menghadiri pertandingan, MADUM seharusnya menggunakan tempoh rehat 3 hingga ke 4 bulan ini dengan menganjurkan bengkel penghakiman yang komprehensif dan bersepadu. Jika dikira kepada bilangan penganjur yang menganjurkan debat saban tahun, maka sudah tentu bengkel ini boleh dilaksanakan kepada bakal-bakal hakim daripada Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Arkib Negara, Institut Integriti, Dewan Bahasa dan Pustaka serta bekas-bekas pendebat. Pendekatan sebegini pastinya mampu meningkatkan kualiti hakim-hakim yang memegang tanggungjawab dalam setiap pertandingan.          

          Seperkara lagi yang sering terlepas pandang dalam menjaga mutu pengadilan berkualiti tinggi adalah pengetahuan dan pemahaman hakim terhadap usul-usul yang diperdebatkan. Benar kita mengamalkan prinsip hakim perlu mengosongkan kepala semasa mengadili perdebatan, tetapi prinsip itu sebenarnya membawa maksud mengenepikan setiap kecenderungan mahupun kepercayaan mahupun pegangan terhadap sesuatu isu yang diperdebatkan dan melihat kepada hanya hujahan pasukan yang bertanding. Mengenepikan kepercayaan ataupun pegangan juga tidak bermaksud hakim perlu menerima segala hujahan pendebat walaupun hujah yang diberikan tidak logik, tidak rasional dan menyimpang. Mengenepikan kepercayaan dan pegangan juga tidak bermaksud hakim boleh menghakimi sesuatu pertandingan tanpa mengetahui sejarah atau kerangka utama usul yang sedang diperdebatkan.

           Dalam usul IAEA perlu lebih adil misalnya, mampukah jawatankuasa teknikal menjamin bahawa setiap hakim yang dipilih faham, sedar dan tahu tentang peranan dan isu semasa yang berlaku dalam IAEA. Bolehkah jawatankuasa teknikal menjamin bahawa keadilan dalam penghakiman berlaku sekiranya ada di antara hakim yang kurang faham atau kurang mengambil tahu peranan sebenar IAEA dan isu terbaru yang melanda badan dunia itu. Justeru saya mencadangkan agar tempoh setengah jam yang diberikan kepada pendebat untuk bersedia digunakan juga oleh jawatankuasa teknikal untuk memberi penerangan ringkas dan fakta-fakta perdana kepada semua hakim terhadap usul yang akan diperdebatkan. Cara ini boleh membantu hakim membuat penilaian yang lebih tepat dan berkesan dan sekaligus membantu para pendebat kerana di akhir sesi keputusan nanti hakim berpeluang untuk menegur, membetulkan atau menerangkan fakta dan definisi sebenar sesuatu usul sekiranya berlaku penyelewengan atau kesalahan fakta.

           Perkara ini bukan mustahil kerana dalam senario debat hari ini, usul-usul cadangan diberikan jauh lebih awal dari tarikh pertandingan. Senjang masa yang ada ini boleh digunakan oleh jawatankuasa teknikal untuk menggariskan fakta-fakta penting dan memberikan pemahaman yang mendalam terhadap setiap usul cadangan. Adalah lebih meyakinkan sekiranya kita meletakkan amanah menentukan kemenangan kepada golongan yang celik dan tahu tentang sesuatu usul daripada menyandarkan kemenangan itu pada faktor gaya dan persembahan semata-mata. Cara ini juga mampu mendisplinkan para peserta debat untuk mencari fakta dan bukti yang benar dan relevan kerana mereka tahu pemesongan dan kecelaruan fakta akan membawa padah kepada perjuangan pasukan. Memiliki hakim yang dilengkapi dengan teknik penghakiman berkesan dan penguasaan fakta akan menjana kepada kelahiran generasi pendebat yang bukan sahaja petah dan memukau bila berhujah tapi dilengkapi dengan displin ilmu dan pengetahuan yang berkualiti.

          Saya tidak pernah mencadangkan corak penghakiman sedia ada tidak boleh dipercayai. Jauh sekali untuk saya menyatakan bahawa sistem penghakiman sejak 1995 ini perlu dirombak. Apa yang saya sarankan adalah usaha-usaha lain yang boleh digembeleng oleh MADUM dalam mendukung peningkatan kualiti perdebatan Bahasa Melayu. Dalam era teknologi dan komunikasi yang melanda dunia zaman ini, adalah wajar untuk kita bersama-sama memantapkan pengetahuan dan ilmu agar kesucian dan ketinggian seni intelek ini akan terus terpelihara. Moga-moga kita berupaya membantu membina anak bangsa yang matang, berpengetahuan dan kreatif melalui seni yang kita cintai ini.

 

Laman utama | Profil | Produk | Makalah | Tinta Emas | Buletin | Galeri | Arkib | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian