akademidebat.com makalah

   

| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam |

       
 

MAKALAH | Membina Legasi Gemilang

   
 

 

MEMBINA LEGASI GEMILANG

 

Oleh:  Wan Rohimi Bin Wan Daud

21/1/2007: Semalam kita menyambut Tahun Baru Hijrah 1428. 20 hari yang lalu kita meraikan sambutan Tahun Baru Masihi, yang menandakan lembaran 2007 telah pun bermula. Seperti kebiasaan insan yang lain, kedatangan Tahun baru berganda ini akan diiringi dengan lafaz dan keazaman diri yang tinggi untuk berubah kepada yang lebih baik.. membaiki segala kelemahan, dan berusaha dengan lebih komited lagi kepada kepercayaan dan perjuangan, walau apa pun namanya! Menjelang April tahun ini, AD akan menjangkau umur setahun jagung. AD ditubuhkan pada 12-4-2006. Mesej daripada webhost ini, daripada Exabytes adalah seperti berikut:-

----------

Dear Customer,

This is to inform you that the following domain(s) are going to expire in 90 days:
Domain : Expiry Date (YYYY-MM-DD)
akademidebat.com : 2007-04-12

Should you have any questions on the renewal process or to have your domain name renewed now, please contact us at domain@exabytes.com. Thank You!

Best Regards,

Domain Department
--------------------------
Exa Bytes Network Private Limited

mengingatkan saya bahawa laman ini hendaklah disambung bayaran yurannya setahun sekali. Maka sebelum tarikh 12-4-2007, yuran tahunan 2007 hendaklah dibayar kepada Exabytes.

Walau pun pada “counter” mukasurat depan laman ini menunjukkan tarikh “sejak September 2006”, tetapi itu bukan tarikh laman ini dilahirkan. Itu adalah tarikh “counter” pelawat dapat beroperasi sepenuhnya. “Counter” pertama yang disiarkan seawal laman ini diaktifkan, telah “crashed” dengan teruknya sehingga tidak dapat dipulihkan. “Counter” ini diaktifkan kembali pada 1 September 2006 untuk melihat penyertaan peminat debat diruang maya ini. Sehingga saat ini, “counter” menunjukkan angka 6067.. dalam tempoh lebih 3 bulan, lawatan ke laman ini amat memberansangkan. Jika “counter” itu tidak menghadapi masalah seawal kelahiran laman ini, saya percaya ia sudah mencecah lebih 10,000-00 pelawat. Sebenarnya, webmaster laman ini boleh mengubahkan nombor-nombor bergerak pada “counter” itu, tetapi kami memilih untuk tidak melakukannya, kerana tiada apa yang perlu dibanggakan dengan nombor yang banyak, sedang hakikatnya tidak. Tiada apa yang ingin dibanggakan dengan gelaran “Pendebat Terbaik” jika pasukan kita tewas, atau “menduduki carta teratas liga” walau seribu kali pertandingan pun, jika mutu perdebatan pasukan kita semakin merosot, memalukan dan amat jarang sekali berkeupayaan untuk menang, atau sekurang-kurangnya diundang ke pentas pertandingan akhir.

Oleh itu, tahun baru ini mengembalikan azam dan tekad saya untuk menyumbang sesuatu yang lama ingin saya lakukan, dan sepatutnya telah lama juga dilakukan. AD seawalnya ditubuhkan, selain dari mekanisme perbincangan maya antara kita, adalah untuk menyediakan medan berkongsi pengalaman dan maklumat, serta kepakaran dalam perdebatan dengan harapan agar dapat memberikan manfaat kepada kita semua. Namun kekangan kerjaya dan rintangan jalanan telah terkadang memesongkan fokus kami di AD untuk memberikan pengisian kepada pembinaan legasi debat yang gemilang. Terkadang, kami terpaksa melayan beberapa siri “serangan” kepada intergriti debat, kualiti debat, dan kelangsungan legasi ini agar ia dapat diwariskan kepada adik-adik dan anak bangsa kita. Dalam apa keadaan pun, layanan-layanan yang telah dan pernah kami lakukan di AD, dan tentunya akan dilakukan lagi mengikut keperluan, adalah sebahagian dari rempah ratus yang diperlukan untuk meneruskan perjuangan  kami di AD. Bak kata pepatah, “membujur lalu melintang patah”. Apa jua halangan, serangan, mihnah dan tribulasi mendatang akan kami tempuhi tanpa mengharap kemenangan dan habuan. Dalam konteks seni yang subjektif ini, kemenangan akan hanya dilihatkan berdasarkan kepercayaan pihak majoriti ke atas sesuatu nilai. Sudah tentu golongan minoriti seperti kami di AD, tidak akan mampu mempertahankan nilai itu, ke atas minda-minda majoriti. Namun, itu semua tidak akan merubah prinsip dan perdirian. Walau pun Ahmadinejad dan Chavez kelihatan kesepian mempertahankan nilai keadilan dan kebenaran dunia sejagat, tetapi saya yakin kedua-duanya akan mampu melihat sinar akhir kepada perjuangan mereka dalam konteks politik antarabangsa. Saya yakin, kemunculan minoriti yang sanggup menongkah arus, berbekal prinsip dan harga diri yang dijunjung, akan membawa pembaharuan kepada dunia yang semakin gemar berselindung di sebalik kepura-puraan!

Seawal bangkitnya saya menjelang Subuh 1 Muharram 1428 H, saya memperbaharui azam saya yang telah lama tertangguh, untuk menawarkan sedikit pengalaman yang mungkin ada, sepanjang penglibatan saya dalam dunia debat. Saya berazam ini menulis secara bersiri (mengikut kelapangan masa dan kemampuan berfikir) tentang keperluan dan fokus sebenar untuk kita membina kualiti minda pendebat yang betaraf juara, dan dengan itu terlahirlah juga sebuah pasukan debat yang hebat dan berkualiti. Sepanjang setahun yang lalu, saya pendamkan azam ini kerana bimbang saya tidak mempunyai keupayaan untuk melakukanya secara konsisten. Dan benar bagai dijangka, tahun 2006 berlalu dan saya masih menyimpan azam itu tanpa berbuat apa-apa. Hari ini saya memilih untuk menulis azam ini,  dengan harapan saya dapat mengikat diri terhadap komitmen ini yang sudah dibuat secara terbuka. Dalam konteks umur yang masih ada, saya melihat saya tidak mempunyai masa yang panjang untuk berbakti kepada anak bangsa saya dalam dunia debat, sebelum saya dikejar ketuaan dan terpaksa memilih untuk berundur sepenuhnya dari dunia debat, dan memalingkan fokus kepada perkara-perkara lain yang lebih mendesak dalam kerjaya dan kehidupan. Berundur dari dunia debat bukanlah satu pilihan kepada insan-insan seperti saya, mahupun rakan-rakan di AD, kerana kami bukanlah pegawai-pegawai universiti atau guru-guru sekolah yang tugasnya adalah menjaga, memantau dan mengendalikan pasukan debat, amanah debat, dan kegemilangan universiti masing-masing. Mereka dibayar gaji untuk menjaga amanah itu. Kegagalan mereka melaksanakan amanah itu adalah satu kegagalan yang akan dipertanggungjawabkan ke atas mereka dunia dan akhirat. Di dunia mereka akan dikeji kerana gemar “mencuri tulang”, di akhirat tentulah hisab ke atas amanah akan dibuat di hadapan Allah s.w.t. Tetapi insan-insan seperti kami hanya menjalankan khidmat sukarela untuk mengembangkan seni yang amat bernilai ini, barangkali disebabkan oleh kelahiran kami dalam dunia debat dan penglibatan yang panjang dalam kehidupan itu, sehinggalah ke satu peringkat kami merasakan tiada apa-apa lagi yang mampu disumbangkan!

Sebenarnya telah lama saya melihat lakuna yang wujud dalam konteks perdebatan di Malaysia. Saya dan rakan-rakan di AD mempunyai kesimpulan yang sama bahawa dalam dunia perdebatan di Malaysia, kita tidak berdebat di atas padang yang sama rata. Perbezaan kualiti pasukan antara satu pasukan dengan pasukan yang lain amat ketara sekali. Justeru tidaklah menghairankan pertandingan debat saban tahun hanya didominasi oleh beberapa buah universiti sahaja. Masih banyak universiti yang kelihatan terkulai-kulai tiada panduan, gersang pedoman. Ramai pendebat hanya berupaya mempertaruhkan kelancaran bercakap, tetapi tidak mempunyai minda seorang pendebat. Ramai pegawai-pegawai universiti hanya menjadikan acara pertandingan debat, sebagai peluang mereka bercuti dan melancung ke tempat-tempat baru, secara percuma. Ramai dari kalangan mereka melihat pertandingan debat perlu disertai, hanya kerana ia wajar disertai dan memberikan ruang kepada mereka berjalan-jalan, dan jika tuah memihak kepada mereka, maka pasukan mereka akan kembali ke kampus bersama piala kemenangan. Pegawai-pegawai MADUM hanya bersidang untuk memastikan sesuatu pertandingan itu berjalan lancar, terutama yang melibatkan teknikal kehakiman. Kecenderungan dan budaya yang dibawa oleh MADUM tidaklah membantu membina kualiti insan pendebat yang hebat dan gemilang, atau membina banyak pasukan yang berwibawa, tetapi lebih dilihat hanya cenderung untuk mengambil alih tugas penganjur pertandingan semata-mata. Saya tidak pernah mendengar MADUM merangka satu “grand design” untuk membantu memulihkan kualiti debat kepada keseluruhan pendebat. MADUM tidak langsung mempunyai inisiatif untuk menjalankan apa-apa seminar atau kursus kepada pendebat-pendebat baru atau menyediakan asas yang penting kepada pembinaan pasukan debat yang gilang lagi gemilang.

Tidak dapat tidak apabila berbicara tentang soal membina legasi debat yang gemilang, banyak pihak yang terpaksa saya kaitkan peranan mereka dalam membantu seni ini dibaik pulihkan. Seboleh mungkin, saya akan cuba melembutkan “sentuhan” terhadap pihak-pihak terbabit, tetapi pertimbangan yang paling penting adalah membuat bedah siasat menyeluruh kepada perkembangan dunia debat. Jika wujud pertembungan antara dua kepentingan ini, sudah tentu kepentingan yang kedua (the latter) akan saya dahulukan! Dalam apa keadaan pun, di kala ramai pasukan debat yang sering menang, lebih gemar membiarkan pasukan-pasukan debat yang lain sentiasa lemah dan tidak mampu bersaing, kerana bimbang cengkaman mereka akan dicabar, saya melihat ia sebagai sesuatu yang akan merugikan kita semua. Saya berpendapat bahawa sesuatu pertandingan tidak akan mampu melahirkan pendebat yang berkualiti apabila sentiasa berdepan dengan pasukan-pasukan yang lemah. Saya hanya percaya bahawa untuk melahirkan kualiti dalam perdebatan, semua pasukan yang wujud di Malaysia mesti mempunyai taraf yang sama. Pertandingan yang sengit antara pasukan-pasukan yang handal, akan membina kekuatan  diri dan pasukan debat yang berkualiti. Perlawanan sesama pasukan yang tidak berkualiti, akan hanya menjanjikan impian untuk melihat pasukan yang berwibawa semakin terbantut!

Untuk itu, di sinilah letaknya peranan AD. Menjanjikan semua maklumat dan kepakaran disalurkan kepada semua orang, semua pendebat, semua pasukan.. untuk memenuhi lakuna yang wujud itu. Mudah-mudahan, akan ada pasukan dan pendebat yang beroleh manfaat darinya.

Bersambung….

SIRI PERTAMA: LENGKAPKAN DIRI DENGAN PENGETAHUAN!

 

 

 

 
       

Laman utama | Profil | Produk | Makalah | Tinta Emas | Buletin | Galeri | Arkib | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian