|
||||||||||||
|
| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam | |
||||||||||||
|
||||||||||||
|
LINA JOY: "PENGHAKIMAN MENENTANG" - PENGHINAAN TERHADAP ISLAM
Oleh: Yusfarizal Bin Yussoff
Ironinya, dia juga seorang bukan Islam, yang sama-sama berhasrat menghapuskan Islam dari muka bumi Allah ini, tidak ubah seperti helang-helang kafir yang membedil Timur Jabalyia, membunuh Hamoudah dan Omer Rihan, dan militia gila yang merobek masuk ke ruang peribadi dan menculik Fawaz Aqra’a. Cuma, si rasional itu menjalankan misi kolar putih, jauh dari jenuh jerik, noda dan darah atas label rasional undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, sedangkan, militia syaitan tersebut menyingsing lengan meledak amarah dengan meminum darah. Seperti dijanji, Islam akan berada di zaman fitnah sebelum kegemilangannya kembali. Islam akan melalui darurah yang mendesak, ketika umat Islam ditolak ke sudut paling jauh, ke lautan paling dalam. Dilabel sebagai pengganas dan komuniti termundur dalam peta dunia. Lihat sahaja negara-negara majoriti Islam seperti Sudan, Libya, Indonesia, dan sebagainya bergelut dengan konflik kebuluran dan kekurangan bekalan asas sedang komuniti kafir berebut-rebut membakar wang berbillion untuk membunuh. Di Malaysia, fitnah tersebut telah lama bermula dan semakin menggila. Walaupun Perkara 3 dan 11 sedikit sebanyak menjamin kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan, dan YDPA diangkat menjadi ketua agama Islam sebagai simbol rasmi Islam sebagai agama persekutuan, usaha-usaha pengkafiran dan penghinaan terhadap Islam terus dilakukan. Penghakiman Berbeza (Dissenting Judgment) Dato’ Richard Malanjum (“Richard”), Hakim Besar Sabah dan Sarawak, yang bertindak selaku koram Mahkamah Persekutuan dalam kes sensasi Lina Joy adalah satu daripada contoh usaha pengkafiran dan penghinaan tersebut. Dengan rasa penuh hormat kepada beliau sebagai ikon sistem kehakiman, tulisan ini akan merobek maksud tersirat disebalik Penghakiman Berbeza tersebut. Kes Lina Joy berkisar kepada 3 persoalan undang-undang yang jelas:- 1. Adakah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhak, mengikut undang-undang, mengenakan syarat supaya Perayu mengemukakan suatu sijil atau suatu pengisytiharan atau perintah daripada Mahkamah Syariah yang memperakukan bahawa beliau adalah murtad sebelum perkataan “Islam” di dalam Kad Pengenalan (KP) Perayu (Lina Joy) dipadamkan (deleted)” 2. Adakah JPN telah dengan betulnya mentafsirkan kuasanya di bawah Kaedah-Kaedah Pendaftaran 1990 (Kaedah-Kaedah 1990) khususnya Kaedah 4 dan Kaedah 14, untuk mengenakan syarat seperti yang tersebut di atas manakala ianya tidak diperuntukkan dengan secara jelasnya di dalam kaedah-kaedah 1990 itu; 3. Adakah kes Soon Singh a/l Bikar Singh lawan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kedah & Anor (1999) (1) MLJ489 telah diputuskan dengan betulnya apabila ia mengguna pakai teori bidangkuasa tersirat yang dikemukakan di dalam kes Md. Hakim Lee lawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur (1998) 1 MLJ 681 dan tidak mengikut kes Ng Wan Chan lawan majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Anor (No.2) (1991) 3 MLJ 487 dan Lim Chan Seng lawan Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang dan 1 kes yang lain (1996) 3 CLJ 231 yang mengisytiharkan bahawa sekiranya tidak ada bidang kuasa yang jelas yang diberikan kepada Mahkamah Syariah, maka Mahkamah-Mahkamah Sivil hendaklah mengekalkan bidangkuasa mereka. Sebelum memahami dengan jelas tentang persoalan undang-undang dalam isu pertama dan kedua, haruslah difahami bahawa Kaedah 14 Kaedah-Kaedah 1990 memperuntukkan bahawa sesiapa yang mempunyai maklumat yang salah pada kad pengenalannya hendaklah melaporkan kepada JPN yang terdekat dan menurut Kaedah 4 Kaedah-Kaedah 1990 pula, sesiapa yang ingin membuat permohonan untuk menukar kad pengenalan atas sebab Kaedah 14 tadi dikehendaki untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan dengan nama, nombor KP terdahulu, alamat tempat tinggal, bangsa, agama, tempat lahir, tarikh lahir dan jantina, kecacatan jika ada, status warganegara dan apa-apa maklumat yang difikirkan perlu oleh JPN. Kaedah 4 (c)(x) pula memperuntukkan bahawa pemohon perlu memberikan dokumen-dokumen yang diperlukan oleh JPN untuk menyokong ketepatan maklumat yang diberikan. Dalam kes ini, JPN telah meminta Lina Joy mengemukakan satu sijil atau perintah daripada Mahkamah Syariah menyatakan bahawa dia telah keluar daripada Islam sebelum perkataan “Islam” pada kad pengenalannya dapat dipadam dan menolak Akuan Berkanun Lina Joy yang menyatakan dia telah keluar Islam dengan melampirkan Sijil Baptist daripada Gereja. Dalam Penghakiman Majoriti Mahkamah Persekutuan oleh Tun Dato’ Sri Ahmad Fairuz Bin Dato’ Sheikh Abdul Halim, Ketua Hakim Negara tersebut telah memutuskan bahawa JPN berhak meminta sijil atau perintah Mahkamah Syariah tersebut berdasarkan peruntukkan jelas Kaedah 4(c)(x) yang dijelaskan tadi, kerana penentuan sama ada seseorang itu telah keluar Islam harus ditentukan oleh Mahkamah Syariah dan bukannya badan-badan lain. Penghakiman Majoriti juga mengatakan bahawa JPN tidak mempunyai kelayakan atau kepakaran untuk menentukan status murtad Lina Joy. Dalam Penghakiman Berbeza pula, Richard telah memutuskan Kaedah 4(c)(x) itu sendiri secara retorik. Richard telah mengatakan bahawa apabila maklumat yang diberikan oleh Lina Joy ialah bahawa dia telah masuk Kristian, maka sijil Baptism adalah mencukupi untuk menjadi bukti kemasukannya kepada agama Kristian. Hakikatnya, Richard telah dikaburi oleh kejahilan kufurnya, dan dibayangi oleh emosinya selaku penganut Kristian. Masuk atau memeluk Kristian adalah langkah kedua yang dilakukan oleh Lina Joy dalam transisi penukaran agamanya. Harus diingat bahawa langkah pertama ialah dia perlu keluar daripada Islam secara sah terlebih dahulu. Langkah pertama tersebut tidak boleh dikesampingkan kerana seorang tidak mungkin atau tidak boleh menganut dua agama dalam satu masa. Oleh itu, Lina Joy perlu keluar dari Islam secara sah terlebih dahulu sebelum boleh menganut Kristian secara sah, kerana agama asalnya ialah Islam walaupun Islam baka (melalui keturunan). Hanya selepas keluar dari agama Islam, barulah Lina Joy boleh memilih agamanya, samada Kristian, Budha atau lain-lain. Lina Joy boleh memilih untuk tidak memilih agama, kekal sebagai seorang “free thinker” sebagaimana sesetengah Peguam yang bakanya Islam, tetapi menentang Islam secara terang-terangan dan terus-terusan mencabar dan meneruskan penghinaan ke atas Islam, dan kini tidak pernah penat untuk terus memimpin kumpulan Artikel 11 untuk meranap dan menghapuskan Islam dari bumi Malaysia ini yang dilancarkan melalui senjata perundangan sekular yang dipertahankan di negara ini. Lina Joy juga boleh memilih untuk mencipta agamanya sendiri dengan menyembah batu, kayu, kambing, anak anjing, dan lain-lain, dan boleh juga selepas ini memilih untuk menyembah Hakim Richard Malanjum mahu pun Gopal Sri Ram!!! Ini yang gagal difahami oleh Richard. Baginya, kebebasan beragama menurut Perkara 11 Perlembagaaan Persekutuan (“PP”) adalah kebebasan murtad atau menukar agama. Ini adalah satu pemahaman yang menyimpang kerana walaupun kebebasan agama diiktiraf oleh PP dan juga Islam, tetapi penghinaan atau membelakangkan agama adalah sama sekali tidak boleh diterima. Sekiranya Lina Joy memeluk Kristian sesuka hati tanpa keluar secara sah daripada Islam, ini adalah jelas satu penghinaan kepada Islam sebagai agama rasmi persekutuan, dan proses merendah tarafkan Islam. Lina Joy boleh murtad, boleh keluar daripada Islam sekiranya dia mahu, dan boleh dibakar oleh api neraka kelak. Itu adalah pilihannya dan neraka sudah tersedia untuk orang-orang sepertinya. Namun, untuk menghina Islam dengan menggunakan lunas undang-undang manusia adalah sesuatu yang kita belum bersedia untuk terima. Richard untuk itu telah membina satu tembok besar antara Islam dan Kafir dan sekaligus meletakkan penghinaan kepada agama Islam sebagai sesuatu yang sah di sisi undang-undang. Richard memutuskan juga bahawa Mahkamah Syariah tidak boleh mempunyai bidangkuasa terhadap kemurtadan seseorang Islam kerana kononnya, mengikut lunas kompleks judicial precedent, Mahkamah sebelum ini telah memutuskan bahawa Mahkamah Syariah hanya akan mempunyai bidangkuasa sekiranya terdapat enakmen negeri yang memberi kuasa kepadanya. Dalam kes Lina Joy, tidak ada satu enakmen negeri pun bagi Wilayah Persekutuan yang memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk memutuskan perihal murtad. Penghakiman Majoriti pula menerima pakai bidangkuasa tersirat. Mereka memutuskan bahawa memandangkan Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk menentukan kemasukan kepada Islam, maka seharusnya ia juga mempunyai kuasa ke atas kemurtadan. Ini adalah selaras dengan beberapa kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah sebelum ini. Hakikatnya, perbincangan undang-undang tentang perkara sensitif hanya akan menemui jalan buntu. Sememangnya, undang-undang manusia masih gagal untuk mengatasi undang-undang tuhan. Cuma, apa yang dilakukan oleh Richard adalah satu tempelak besar kepada umat Islam supaya lebih berusaha keras mempertahankan aqidah yang satu. Di satu dimensi yang berbeza, umat bukan Islam di Malaysia semakin bersorak keras menghina Islam. Lihatlah bagaimana Majlis Peguam (yang majoritinya orang Melayu tetapi jawatan tertinggi kebanyakkannya didominasi oleh bukan Islam) mengeluarkan kenyataan akhbar menyokong Penghakiman Berbeza Richard. Tindakan dangkal yang bertentangan dengan semangat demokrasi, menghormati Mahkamah dan tanpa mengambil kira sensitiviti peguam-peguam Islam ini juga boleh dilihat sebagai usaha menyokong penghinaan terhadap Islam. Tidak kurang pula sekiranya ditinjau di blog-blog panas seperti Malaysia Today yang akan menyaksikan komen-komen yang berupa celaan dan penghinaan, bukan sahaja kepada umat Islam tetapi Islam itu sendiri, dihamburkan tanpa batasan. Di mana hormat dan patuhnya mereka ini kepada PP? Dimana hormatnya mereka ini kepada sistem kehakiman? Dan yang paling menyedihkan, dimana hormat mereka kepada Tuhan, Pencipta sekelian Alam. Lebih membungkam rasa, wujud pula golongan rasionalis yang beragamakan Islam tetapi bermindakan sekular. Dengan lantang golongan ini menyokong pergerakan Perkara 11 memperjuangkan kebebasan beragama atau lebih tepat kebebasan keluar agama atau murtad. Atas rasional minda mereka, mereka mengupas keadilan dalam Islam ialah membenarkan umatnya keluar Islam sesuka hati dan menghina Islam. Ini jelas satu pendapat yang gila. Islam tidak pernah menyekat kebebasan beragama. Nabi Muhammad s.a.w. sendiri merelakan golongan yahudi terus menetap di Madinah. Namun, ia perlu mengikut lunas undang-undang Islam seperti termaktub dalam Piagam Madinah. Begitu juga pada hari ini. Anda bebas keluar Islam jika sudah tidak tahan ingin mengahwini orang kafir, tetapi ingat anda perlu mengikut lunas undang-undang Islam dan keluar secara sah. Secara analoginya, sistem akses pintu mengkehendaki anda menyorong kad ketika masuk dan keluar. Pintu tidak akan terbuka sekiranya anda tidak menyorong kad untuk keluar. Undang-undang mudah ini juga menggambarkan betapa perlu anda menghormati sesuatu institusi apatah lagi agama yang diturunkan tuhan. Kepada umat Islam, murtad sudah menjadi fenomena meruncing dasawarsa ini. Kita harus berganding bahu menyebar kefahaman Islam yang sebenar kepada golongan muda yang gila nafsu dan buta aqidah. Janganlah pula umat Islam hanya dimomokkan oleh label hadhari yang menghalalkan segalanya, menghalalkan wanita tidak bertudung (termasuk pemimpin tertinggi negara), menghalalkan arak (lawatan sekolah ke kilang calsberg), menghalalkan percampuran lelaki dan wanita, dan yang terbaru menghalalkan pula kebebasan murtad. Insaflah. Tatkala Islam diambang fitnah, jangan kita terjerumus sama ke lembah kekufuran. Kelak nanti kita bangkit bertubuh binatang, direjam tuhan ke neraka paling dalam. Dan lebih hina, di dunia lagi sudah menerima padahnya. Apa yang menyedihkan kita, komen Imam Besar Islam Hadhari sejurus selepas keputusan kes Lina Joy diumumkan, ialah bahawa “kerajaan tidak mempengaruhi kehakiman dalam memutuskan isu Lina Joy”.. dan esoknya, Imam yang sama menyatakan bahawa “Islam tidak mengatasi perlembagaan negara”.. Bilamana Imam Besar menyatakan kepada dunia bahawa perlembagaan ciptaan manusia sebagai lebih tinggi dari undang-undang Rabbani, dan undang-undang Rabbani sebagai tidak boleh mengatasinya, maka fahamlah kita bahawa kepimpinan tertinggi negara tidak mempunyai keberanian untuk bertegas tentang penghinaan yang dilakukan terhadap Islam. Sepatutnya Imam Besar menunjukkan ketegasan dalam konteks mempertahankan Islam sebagai agama rasmi, dan mekanisme kehakiman syariah yang melibatkan undang-undang peribadi dan keluarga (personal and family law) termasuk persoalan murtad dan keluar Islam, perlu dijunjung dalam kerangka Perlembagaan Malaysia. Ya, Imam Besar wajib mempamerkan keberanian dan ketegasan dalam mempertahankan warisan terakhir ummat Islam di negara ini, berkenaan dengan kewujudan kehakiman syariah bagi individu-individu yang beragama Islam, walau pun mungkin Imam Besar boleh berlembut di atas isu tudung wanita Islam..! Melihat kepada sikap Imam Besar tersebut, tidak hairanlah tiada seorang pun Menteri Islam yang bangun membela Penghakiman Majoriti dan Mahkamah Tertinggi di negara ini. Timbalan Perdana Menteri yang sering ingin kelihatan “cerdik” dalam mengulas sesuatu isu, langsung tidak bermaya. Apalagi yang lain, semua pak menteri Islam yang bermulut becok dan murai sebelum ini, kelihatan senyap menikus, termasuklah Menteri yang menjaga hal ehwal Islam. Nyata, kepentingan peribadi melebihi tuntutan mempertahankan amanah agamanya! Jika pemimpin tertinggi Islam dalam negara ini tidak mampu berkokok lagi, walau dalam isu penghinaan terhadap Islam, apalah yang ingin kita harapkan daripada Pemuda Parti yang kerjanya hanya tahu mencabut dan menghunus keris, mencium dan menjulang besi buruk setiap kali perhimpunan agung parti itu, sambil terkinja-kinja dan berbuih segala liur melaungkan semangat Melayu. Tetapi selepas itu, Melayu terus di”layu”kan.. Barangkali pada mereka, adalah lebih baik menghabiskan jutaan ringgit wang rakyat, untuk menghantar satu dua mat rempit ke kutub utara, daripada mengunakan wang yang banyak itu untuk manfaat kelompok yang ramai.. Tetapi mereka terus dipuja dan dijaja agar terus diangkat sebagai pemimpin kita, untuk “mempertahankan agama, bangsa dan negara”…Dan kerana tangan kita yang memilih mereka, usahlah komplen, kita tentunya layak menerima pemimpin seperti itu, untuk pasrah dan redha agar agama Islam terus dihina!!! YUSFARIZAL BIN YUSSOFF Ukay Perdana 13 Jun 2007 |
||||||||||||
|
||||||||||||