akademidebat.com makalah

   

| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam |

       
 

MAKALAH | Pasca Debat Alam Sekitar

   
 

 

UIAM DI PERSADA KEMEGAHAN, PIALA SUDAH DIGENGGAMAN

Oleh: Wan Rohimi Bin Wan Daud

10/8/2006:  Tanggal 1 Ogos 2006, UIAM kembali dinobatkan sebagai Johan Debat Alam Sekitar 2006. Kemenangan itu bukan sahaja memberikan habuan besar dalam bentuk hadiah wang tunai RM 8,000-00, tetapi kebanggaan yang tiada ternilai kerana UIAM kini menjadi satu-satunya pasukan yang paling banyak memenangi Debat Alam Sekitar dari tahun 1992, 2000, 2003, 2005 dan 2006. Tentunya di kala ini, pasukan debat UIAM, Penasihatnya, panel kejurulatihannya, pasukan penyokong dan lebih penting agen propaganda dan provokasi mereka tersenyum puas. Megah, bangga, bongkak, angkuh sudah tentu terpamer di wajah-wajah mereka. Nah! Padan muka pengkritik-pengkritik kita! Akhirnya kita berjaya menutup mulut mereka. Gamaknya itulah reaksi awal kontinjen debat UIAM. Mereka semuanya tersenyum riang dan puas. Mereka seharusnya menikmati nikmat sedemikian. Kerana keringat mereka akhirnya dibayar dengan sebuah kemegahan. Dinobat sebagai sang Juara!

Dalam suasana ini, saya kembali memacu pena ini untuk terus mengkritik, menegur dan membina kekuatan dunia debat. Saya berdoa supaya akademidebat.com akan berjaya mencapai hasratnya untuk menyediakan padang yang sama rata kepada semua pasukan debat di seluruh Malaysia. Oleh itu, barang sekecil mana pun sumbangan melalui laman web ini, ia diharap dapat memberikan tunjuk ajar dan pedoman bagi yang ingin mempelajarinya. Yang tahu bahawa sejarah dan pengalaman adalah guru terbaik. Yang faham bahawa dalam dunia debat, kemenangan bukanlah segala-galanya. Yang tidak leka bahawa tidak semua Juara layak menghiasi “Dewan Kemasyhuran” (Hall of Fame). Yang insaf bahawa hanya pendebat yang mempunyai intelek yang tinggi akan dihormati akal dan bicaranya. Yang sedar bahawa keangkuhan akan menghancurkan. Yang menjunjung perintah Tuhan bahawa rasuah dan pecah amanah perlu dihancurkan. Yang tidak memilih kawan bila berdepan dengan amanah Tuhan. Yang tidak menggadai harga diri semata-mata ingin menjaga tembolok sendiri. Saya berharap semua peminat seni debat akan menganalisa tulisan saya dengan penuh teliti, sebelum sebuah kesimpulan ditemui. Saya berharap ramai dari kalangan pendebat akan berfikir untuk mendahului zamannya. Sekurang-kurangnya saya berani untuk memperkatakan suara hati saya secara berdepan dan bertanggungjawab ke atasnya, tetapi anda belum tentu!

Tanpa sedar dan tanpa ragu, kritikan terbuka akademidebat.com diambang Debat Alam Sekitar 2006 telah menyentak lena UIAM yang panjang. Selama setahun sejak Debat Alam Sekitar 2005 mereka terlena dalam ego dan angkuh yang memakan diri. Persembahan yang membosankan, permainan konsep dan katarsis bahasa yang mengelirukan dan sering memerangkap diri sendiri, membidas dengan penuh kejahilan, terkadang lebih cenderung untuk membuat lelucon yang mengalahkan badut di pentas sarkas, karakter dan perwatakan debat yang tidak sopan dan kerap biadap terhadap lawan, “remark” atau pernyataan-pernyataan kurang ajar yang bersifat pembunuhan karakter, penggunaan analogi liar yang tidak menyumbang, celahan-celahan retorik yang bergentayangan, kerap menjadi asas kepada anutan pendebat UIAM. Jika artikel itu berupaya membakar semangat juang UIAM untuk bangkit menjadi Juara, saya tinggalkan dewan yang mulia ini dengan satu persoalan? Apakah taktik “reverse-coaching” lebih berkesan?

Diambang “skirmish” dengan Penasihat Debat UIAM, sebaik sahaja UIAM muncul Johan Debat Perdana Intergriti 2005, saya pernah menulis sebuah artikel yang bertajuk “Jaguh Yang Dibenci” yang saya tujukan sebahagian besar daripada penulisan tersebut untuk menegur sikap pendebat ketiga UIAM pada waktu itu. Tetapi penulisan itu tidak digemari oleh Penasihatnya yang bangun menjawab tulisan saya serta menjunjung sikap tersebut. Saya diperlihatkan sebagai membuat analisa liar kerana sewaktu Debat Intergriti Perdana 2005, saya berada di Kota London dan Paris bersama Mohd Faizi Che Abu, dan tidak langsung mengikuti debat tersebut. Hakikatnya Penasihat Debat UIAM lupa, bahawa walau pun saya berada di luar negara, tetapi pada waktu itu saya adalah Ketua Jurulatih UIAM. Sudah tentu saya mempunyai panel kejurulatihan yang mantap, yang menjadi mata dan telinga kepada sistem kejurulatihan yang dipertahankan bersama. Perutusan dan laporan melalui emel, sms, panggilan telefon sentiasa menjadi mekanisma kejurulatihan untuk menyusun strategi pasukan, walau berjauhan ribuan batu. Diambang “skirmish” tersebut, mantan-mantan Jurulatih Debat UIAM kerapkali menulis dan mengkritik sikap kemanjaan, tidak berdisiplin dan sikap pendebat yang semakin biadap terhadap lawan. Tetapi pendebat tidak mengambil endah kerana Penasihat Debat berada dibelakang mereka. Mereka bersama-sama membentuk “allied” untuk kepentingan masing-masing. Pendebat boleh berlindung dibelakang Penasihat atau adik iparnya di kala diserang bertalu-talu oleh para jurulatih. Manakala sebagai timbal balas, Penasihat memperolehi sokongan yang jitu dari para pendebatnya. Pada waktu itu dan sekarang ini pun, sokongan pendebat adalah modal yang paling ampuh Penasihat Debat UIAM untuk menghadapi beberapa siri “skirmish” yang akhirnya mencetus “act of war”.

Hasilnya cukup jelas, perubahan sikap Penasihat Debat UIAM tersebut telah membuahkan hasil yang jelas tentang karakter, persembahan, disiplin, tatasusila dan kebolehupayaan pimpinan pasukan. 

Setelah setahun lamanya saya dan rakan-rakan memilih untuk berdiam diri, dari jauh saya melihat kecacatan dan kebobrokan pasukan UIAM. Saya kesian, dalam tempoh itu Penasihat Debat UIAM agak kempunan untuk tersengih-sengih mengejar sinaran “flash” kamera di pentas pertandingan akhir, kerana UIAM asyik tersungkur di pintu syurga. Saya melihat dari jauh sistem kejurulatihan UIAM yang baru, yang diketuai oleh seorang Ketua Jurulatih yang gemar memerintah panel kejurulatihan dan pasukan debat secara diktator, dan tidak banyak membantu pasukan debat UIAM. Benar, tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain dan dibesarkan. Walau apa jua hamburan sinis para pendebat UIAM terhadap kami, tetapi atas semangat dan kesedaran bahawa debat adalah satu seni intelek yang perlu dipertahankan, maka saya bangkit melalui akademidebat.com, menegur komposisi pasukan, dan menerangkan kelemahan individu pasukan Debat UIAM serta ketidakupayaan jurulatih mereka membina pasukan debat yang baik, atau sekurang-kurangnya mempertahankan legasi yang pernah kami cipta. Barangkali teguran saya dan rakan-rakan telah membuka mata pendebat UIAM untuk berlatih dengan lebih kuat, untuk bangun dan menajamkan kembali sentuhan mereka yang telah lama hilang. Saya faham benar dengan kebolehan pasukan debat UIAM, keupayaan pendebat akan dapat diperah ke akarnya bilamana tekanan ketahap maksimum dikenakan  ke atas mereka. Minda mereka hanya dapat digerakkan bilamana kepala mereka dihentak berkali-kali. Mata mereka hanya akan dapat berfungsi dengan baik setelah ditenyeh bertali arus dengan disiplin yang tinggi. Saya faham benar bahawa sistem kejurulatihan debat yang tulin amat menyakitkan, menyeksakan dan mengerikan. Tetapi itulah resipi mujarab untuk melahirkan pendebat yang mempunyai karakter Juara. Percayalah, pendebat-pendebat yang pernah melalui proses latihan seperti ini, tidak akan meninggalkan dunia debat, bahkan sedia berbakti kepada debat sekali pun selepas mereka tidak lagi bergelar mahasiswa. Mereka akan sentiasa mengikuti perkembangan debat dalam apa cara pun. Mereka akan hadir ke pertandingan-pertandingan debat, sekali pun tidak diundang.

Saya sendiri dan beberapa rakan akademidebat.com telah hadir ke Universiti Sains Malaysia, selang beberapa hari selepas saya “menyerang” pasukan debat UIAM melalui tulisan tersebut, untuk mengikuti secara dekat pertandingan Debat Alam Sekitar 2006. Saya sempat meninjau beberapa pasukan yang lain bagi analisa-analisa pasukan debat pada waktu ini. Saya juga tidak ketinggalan untuk menyaksikan sendiri prestasi debat UIAM. Pada hari Ahad, 31-7-2006, saya berkesempatan untuk melihat perlawanan pusing ke-6 antara UM dan UIAM, dimana UM telah bertindak sebagai Kerajaan dan UIAM sebagai Pembangkang untuk membahaskan usul: “NGO DI MALAYSIA BERJAYA MEMPERJUANGKAN ISU ALAM SEKITAR”. Perlawanan ini dilihat agak penting untuk memastikan siapa yang bakal mengakhiri perlawanan liga 6 pusingan, pada ranking teratas. Sebelum perlawanan tersebut, UIAM berada pada ranking pertama dan UM pada ranking kedua. UM telah memenangi perlawanan tersebut dengan juri 2 – 1, tetapi tidak mempunyai margin dan juri yang mencukupi untuk memintas UIAM pada ranking pertama liga.

Sebaik sahaja duduknya pendebat pertama UM, Shahrizan, saya senyum sendiri bila melihat Mohd Daud bangun sebagai pendebat pertama pasukan UIAM, untuk bertindak selaku Ketua Pembangkang. Terdetik di hati saya, barangkali, dan mungkin barangkali tulisan saya sebelum ini: “(UIAM dijangka gagal pertahankan kejuaraan) Saya berpendapat langkah jurulatih UIAM ini akan memburukkkan lagi keadaan… menempatkan Daud sebagai pendebat kedua UIAM akan hanya memberikan kelebihan peribadi kepada Daud untuk muncul sebagai pendebat terbaik perlawanan semata-mata, tetapi akan merosakkan pasukan mereka. Daud mesti seronok tetapi pasukan akan lemah. Posisi sedemikian akan meletakkan pendebat pertama dan pendebat ketiga terkial-kial untuk mengurangkan lakuna perdebatan yang bakal dicetuskan Daud apabila bangun sebagai pendebat kedua. Keselesaan berhujah membentangkan kes sebagai pendebat pertama, yang tidak perlu mengikut denai yang dicipta oleh pendebat didepannya, akan sentiasa menghantui Daud.. Oleh itu beliau akan membentangkan kesnya sendiri, walau pun mungkin bercanggah, atau mempunyai simptom-simptom percanggahan kes yang boleh digunakan oleh lawan untuk menyerang balas” sedikit sebanyak menyentak lamunan para jurulatihnya untuk menempatkan Daud kembali pada posisi pendebat pertama, sekurang-kurangnya bila bertindak sebagai Pembangkang.

Saya sedar terlalu sukar untuk mengkritik secara terbuka sebuah pasukan yang pernah kita bina. Yang dibina atas keringat dan airmata. Yang dilahirkan dari sebuah kepahitan, keperitan dan pengorbanan yang maha tinggi. Yang tidak pernah diberikan apa-apa keistimewaan oleh universiti. Semua dibuat atas inisiatif sendiri. Tenaga dan wang ringgit dibakar demi memacu sebuah kegemilangan. Hari ini segala-galanya sudah tersedia buat mereka. Namakan saja segala kelengkapan, studio latihan, TV-Astro, Komputer-Internet, Aircond, dapur yang lengkap dengan perlatan memasak dalam studio latihan, kemudahan pengangkutan, bahkan diwujudkan satu unit SPICE untuk menjaga “anak emas” universiti ini, semuanya ini terhasil berkat perjuangan yang tidak pernah kenal erti putus asa dari pejuang-pejuang terdahulu. Pada banyak ketika saya bertempur dengan pegawai tertinggi UIAM untuk mempertahankan kelab, memperjuangkan kebebasan idealisme gerakan mahasiswa, yang mengakibatkan fail disiplin dibuka terhadap saya, dan nyaris-nyaris dikenakan tindakan disiplin. Kejayaan demi kejayaan yang diukir telah “memalukan” universiti sendiri sehingga pentadbir universiti terpaksa mencurahkan segala kemewahan ini untuk membayar kesilapan lalu mereka. Namun disebalik segala kemewahan itu, saya melihat pendebat-pendebat yang semakin merosot mutunya, yang semakin lembik semangatnya..! Tetapi zaman sudah berubah, manusia yang berjaya di waktu ini hanyalah mereka yang berupaya untuk berfikir mendahului zamannya. Saya sedar, ketaksuban dan assobiyah kepada kelompok sendiri akan melahirkan keangkuhan, mengundang kehancuran! Mempertahankan persaudaraan atas ratapan amanah, akan menyediakan jejantas usang untuk melintasi bahang neraka. Oleh itu, walau saya telah berundur dari kejurulatihan debat UIAM, saya tidak rela melihat legasi kejayaan yang dibina sejak sedekad yang lalu, dihancurkan dengan sekelip mata oleh kemewahan, adudomba dan lakonan semata-mata. Saya amat pasti! Saya mesti melancarkan “pre-emptive strike” untuk menyatukan manusia yang sentiasa hidup dalam kepura-puraan, sekurang-kurang buat sementara waktu. Dan dalam kesementaraan itulah, mereka akhirnya bangkit untuk mengukir kejayaan, sekurang-kurangnya dapat mengubat kempunan Penasihat mereka untuk tersengih-sengih di depan kamera. Itulah keistimewaan Tun Dr. Mahathir, negarawan terbilang yang bersedia berperang mempertahankan kedaulatan negaranya, walau nyawa di hujung usia!

Benar UIAM sudah dinobatkan dengan kejuaraan Debat Alam Sekitar pada kali ini, tetapi tidak banyak yang berubah dengan prestasi sebelum ini. Seawal pendebat pertama UM, Shahrizan membentangkan kes Kerajaan, saya agak terkesima dengan celahan Daud (celahan pertama perlawanan) yang lebih kurangnya berbunyi seperti berikut: “Boleh YB beza antara berjaya menjadi pendesak, dengan menjadi pendesak yang berjaya (merujuk kepada peranan NGO dalam konteks NGO di Malaysia berjaya memperjuangkan isu alam sekitar)”. Walau pun celahan sedemikian mendapat tepukan gemuruh penyokong UIAM, dan kelihatan terangguk-angguk kepala Ketua Jurulatihnya seolah-olah merestui celahan sedemikian, tanpa teragak lagi kami amat pasti bahawa permainan katarsis bahasa dan konsep yang mengelirukan akan dimulakan oleh UIAM seawal bangunnya Daud. Inilah denai kegemaran permainan debat UIAM sejak setahun yang lalu. Tetapi Shahrizan UM lebih cekap mencium lencongan yang dibuat oleh Daud, dengan menepis cubaan melampiaskan perdebatan kepada permainan bahasa. Daud yang kelihatan bengang dengan sindiran Shahrizan tersebut, lantas bangun seolah-olah menunjukkan respons impromptu dan bahawa sindiran UM adalah tersasar, dengan terlonjak-lonjak dan terkinja-kinja meminta celahan kedua daripada Shahrizan. Namun yang menarik perhatian saya ialah seawal Daud bangun untuk meminta celahan kedua, beliau kelihatan bangun keseorangan sahaja, manakala Raihan dan Jefri saling memandang sesama sendiri dengan wajah yang terpinga-pinga, mencari arah, dan berkerut-kerut kekaburan. Jelaslah reaksi mereka menunjukkan konsep yang cuba di bawa oleh Daud melalui celahan pertama tersebut, adalah pemikiran Daud seorang diri, dan tidak dibincangkan secara berpasukan atau dipre’em sewaktu perbincangan. Atau mungkin sudah dibincangkan, tetapi hanya Daud seorang sahaja yang faham lenggok kekalutan yang sentiasa dicetuskan oleh Ketua Jurulatihnya. Maka rentetan dari celahan itu, bangunlah Daud sebagai Ketua Pembangkang dengan mempertahankan konsep sedemikian. Analoginya berkenaan dengan: “Berjaya menjadi pelajar UIAM, dan menjadi pelajar UIAM yang berjaya” hanyalah melengkapkan kekalutan kepada kes pasukan UIAM. Tidak hairanlah apabila UIAM tewas pada perlawanan tersebut!

Walau apa pun kritrikan saya terhadap Daud, saya tidak mencadangkannya digugur dari pasukan UIAM. Daud adalah seorang pendebat yang hebat pada zamannya kini. Sekurang-kurangnya seringkali digambarkan sebagai teramat hebat. Kehebatannya terserlah dalam beberapa perspektif yang jelas. Daud tidak boleh direhatkan dari pasukan UIAM, sekurang-kurangnya dalam masa terdekat ini. Tetapi kehebatan Daud hanya bersifat kosmetik sahaja, dan masih memerlukan tunjang pasukan yang kuat. Walau Daud mungkin gembira membentuk pasukan bersama Jefri dan Raihan, kerana kedua-dua Jefri dan Raihan masih terlalu muda untuk menyainginya. Atau dalam banyak keadaan, Jefri dan Raihan hendaklah tunduk kepada kehendak Daud, terutama dalam kes yang melibatkan permainan konsep yang mengelirukan! Oleh itu, apabila Jurulatih UIAM meletakkan posisi pasukan yang songsang, dengan menamakan Daud sebagai pendebat kedua dalam pertandingan debat sejak setahun yang lalu, atau dengan menggunakan “rotation” Kerajaan dan pembangkang, kekalahan pada peringkat kalah mati sudah tentu tidak dapat dielakkan. Saya telah menulis kelemahan Daud dalam artikel terdahulu, yang saya tidak fikir ia sudah dapat diubati. Lebih malang lagi, apabila Jurulatih UIAM menggunakan Daud sebagai tunjang kepada sistem rotation, saya tidak melihat Daud sebagai sesuatu yang istimewa dalam pasukan UIAM. Tidak juga saya melihat kehebatan percaturan Jurulatih mereka. Yang saya pasti, sistem rotation itu hanyalah perubahan kosmetik kejurulatihan dalam percubaan mudah mereka untuk memperlihatkan kelainan semata-mata. Justeru pasukan menjadi pertaruhan. Kekalahan demi kekalahan muncung tanpa terhitung. Bilamana sistem rotation ini dipertahankan, dengan meletakkan Daud sebagai ankor rotation, fahamlah saya akan ceteknya percaturan Raja Retorik.

Saya masih ingat, kali pertama secara penuh UIAM mengamal sistem rotation ini ialah pada Pertandingan Debat Piala PNB tahun 2001. Sistem rotation ini banyak memberikan kelebihan dan kekuatan UIAM. Tahun 2001, UIAM muncul Johan Debat PNB dan Johan Debat Piala Diraja. Pada zaman inilah, UIAM seringkali menjadi penghuni tetap pentas pertandingan akhir. Sistem rotation di kala itu meletakkan Yusfarizal dan Zairul Isham (sebagai pendebat UIAM waktu itu) sebagai “double-ankor” untuk mengimbangi kekurangan dan kekuatan yang dimiliki oleh Datin Norjuma Habib Mohamed dan Shaiful Kamaluddin. Dalam sistem rotation ini, Yusfarizal akan bertindak selaku pendebat kedua jika pasukan UIAM bertindak sebagai Kerajaan, dan Datin Norjuma akan bertindak selaku Perdana Menteri. Bilamana UIAM bertindak sebagai Pembangkang, Yusfarizal akan bangun sebagai Ketua Pembangkang, manakala Shaiful Kamaludin akan bertindak selaku pendebat kedua. Dalam apa keadaan sekali pun, UIAM mempunyai mempunyai seorang pendebat ketiga yang hebat pada zamannya, zairul Isham, untuk menyerang dan meratah pasukan lawan. Jika diperhalusi, sistem rotation ini berupaya dilaksanakan dengan cemerlang, kerana kewibawaan kepimpinan pasukan serta keserasian yang dimiliki oleh Yusfarizal dan zairul Isham, untuk menyerap segala tekanan dari dalam pasukan dan sudah tentu, dari lawan! Hakikatnya, sistem rotation hanya boleh diamalkan dengan pengamatan yang jelas tentang kekuatan individu pendebat, dan sudah tentu dalam konteks ini, Daud masih terlalu jauh untuk menyaingi Yusfarizal. Siapalah dari kalangan pendebat UIAM kini, baik yang bernama Jefri mahu pun Shamsul Qamar, yang mampu menyaingi Zairul Isham selaku pendebat ketiga! Sistem ini tidak wajar diikuti, ditiru dan diadapatasi secara semberono semata-mata untuk memperlihatkan pembaharuan. Sebab itulah saya menghujahkan pembaharuan Jurulatih UIAM dengan sistem rotation ber”ankor”kan Daud hanyalah satu perubahan kosmetik, dan tidak menjanjikan apa-apa selain dari kehancuran pasukan. Setelah Yusfarizal dan Zairul Isham bersara dari dunia perdebatan mewakili UIAM, sistem rotation tersebut tidak dapat bertahan dan ia terpaksa dihentikan. Jika masih ada yang menyimpan hasrat mengamal sistem rotation ini dari kalangan Jurulatih UIAM, terutama dalam debat ala-parlimen yang tidak menyediakan tajuk seawal debat alam sekitar, dalam konteks pasukan debat yang masih mereka miliki, saya hanya mampu mendengus, menggeleng kepala dengan mengenangkan, bahawa pada zaman itu, seawal tahun 2000 hingga akhir 2002, hanya saya seorang sahaja yang sanggup menjadi Jurulatih percuma kepada UIAM. Kesemua mereka tidak ingin berkhidmat sebagai Jurulatih, sebahagiannya sedang lena diulit cinta, sebahagian lagi bertempiaran lari menyelamatkan diri dari dikejar along, dan menunggu dan terus menunggu kot-kot ada lagi pendebat universiti lain yang ingin menempah komputer!

Saya tidak berhajat untuk membuat analisa lengkap tentang perlawanan pusingan ke-6 antara UIAM dan UM, tetapi cukuplah sekadar saya nyatakan bahawa tulisan saya sebelum ini adalah tepat dan tidak pernah tersasar! Tinggal lagi ketidakupayaan pasukan lain yang mampu mencabar retorik bahasa UIAM. Berdasarkan analisa semasa Debat Alam Sekitar 2006, satu-satu pasukan yang berupaya mencabar retorik bombastik UIAM adalah Universiti Malaya sahaja (Jika diizinkan Tuhan, saya akan membuat analisa pasukan UM dalam tulisan yang akan datang). Pertembungan antara keduanya pada pertandingan akhir adalah mempamerkan dua kekuatan yang sama rata. Malangnya UTM dan UiTM yang dilihat mempunyai wibawa untuk menyaingi UM dan UIAM, gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan. Kegagalan UTM untuk melepasi peringkat suku akhir juga memeranjatkan, walau pun pasukan mereka dilihat mempunyai kekuatan yang agak seimbang. Congakan mudah saya kepada pasukan UTM, ialah kesilapan menyusun komposisi pasukan dan strategi pasukan. Sesungguhnya kehilangan taring pasukan UiTM dan UTM pada pertandingan kali adalah diluar jangkaan. Walau pun saya berpendapat bahawa terlalu sukar mencari pasukan yang konsisten, tetapi kemorosotan UTM adalah jauh dari ramalan. Tentunya menyedihkan!

Sepintas lalu, saya juga memerhatikan dengan teliti peranan Jefri sebagai pendebat ketiga UIAM. Sepanjang ingatan saya, Jefri adalah seorang pendebat muda yang mempunyai daya kepimpinan debat yang tinggi. Jefri pernah memimpin pasukan Junior UIAM untuk muncul Juara Debat Diraja (kategori muda). Saya telah melihat bakat Jefri seawal beliau menjejakkan kaki ke Pusat Matrikulasi UIAM, seawal tahun 2001/2002, saya kurang pasti. Tetapi saya terkilan melihat Jefri dalam pasukan Debat Alam Sekitar UIAM. Saya melihat Jefri kini, adalah jauh berlainan. Saya melihat Jefri yang tidak mempunyai semangat juang dalam debat. Saya melihat Jefri yang semakin cenderung mewarisi watak-watak pendebat ketiga yang tidak digemari, dan tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang apa yang dituturkannya. Saya melihat Jefri yang hanya tahu mencurahkan fakta yang sedikit itu, tanpa apa-apa kefahaman. Saya melihat Jefri yang membidas secara kosong, kosong sekosong-kosongnya. Kerap kali penyokong UIAM terkesima, berbisik sesama mereka, dan kepala Ketua Jurulatihnya terhenti dari teranggguk-angguk, walau tidak tergeleng-geleng, setelah mendengar bidasan Jefri. Dari jauh saya merenung, kenapa setahun yang berlalu telah menjadikan Jefri sedemikian. Seawal penglibatan Jefri dalam debat UIAM, saya menanam harapan yang besar agar suatu hari beliau berupaya memimpin pasukan. Namun, saya tidak pasti apakah Jefri mendapat latihan yang baik sebagai pendebat ketiga. Jika Jurulatih Jefri tidak pernah menjadi pendebat ketiga, bahkan hanya sebagai pendebat pertama yang paling membosankan dengan lelehan liur dan muncungan katanya, sudah tentu kita tiadakan dapat menimba ilmu pendebat ketiga darinya. Tetapi jika Jurulatih Jefri adalah salah seorang pendebat ketiga yang berpengalaman, bagaimana Jefri kelihatan seperti tunggul yang hanya melengkapkan posisi pasukan? Tanpa sebarang sumbangan? Jika saya masih layak menegur Jefri, bangunlah dari lenamu…

Demikian juga halnya dengan Raihan. Raihan tidak dapat berfungsi sebanyak pendebat kedua dengan baik (dalam konteks pembangkang). Walau pun Raihan berjaya mengurangkan anggukan “keangsaannya”, namun beliau tidak banyak membantu pasukan UIAM. Perbandingan satu lawan satu dengan pendebat kedua UM, Raihan jauh ketinggalan. Apa pun, kedua-dua Raihan dan Jefri masih jauh dari keupayaan yang sepatutnya mereka miliki. Kelemahan paling ketara antara keduanya ialah bilamana mereka bangun berhujah sewaktu debat terbuka. Tidak seorang pun dari kalangan mereka yang berjaya menghabiskan masa 90 saat yang diperuntukkan. Bagi pendebat berpengalaman, sudah tentu anda boleh memahami gelodak jiwa pendebat yang duduk sebelum loceng 90 saat berbunyi. Mudahnya saya berani mengatakan, bahawa jika itulah persembahan Raihan dan Jefri, panel pemilih pasukan UIAM tidak akan teragak-agak untuk menggugurkannya dari pasukan debat Arkib yang dijadualkan pada 19 – 22 Ogos 2006 ini. Jika panel jurulatih mereka mempunyai satu dua bakat lain, yang mungkin hampir sama kekuatan dengan Raihan dan Jefri, sudah tentu kedua-duanya akan disingkirkan. Entahlah, mungkin ramalan saya ini akan menyelamatkan Raihan dan Jefri.. Kita tunggu dan lihatlah hasilnya nanti.

Benar. Ramalan saya meleset. Jauh dari realiti sebenar. Sewaktu membuat ramalan yang menyakitkan itu, saya terlupa hakikat bahawa Debat Alam Sekitar adalah sebuah pertandingan debat yang memberikan ruang kepada pendebatnya membuat persiapan awal. Tajuk-tajuk diberikan sebulan sebelum pertandingan menjelma, akan membolehkan keseluruhan tenaga kejurulatihan diperah untuk berfikir dan membuat kajiselidik tentang kes, pendekatan dan fakta-fakta yang relevan. Sesudah itu ahli-ahli kelab akan diarah mencari fakta sebanyak mungkin untuk disuap ke setiap mulut pendebat. Tugas pendebat tidaklah sukar, setelah mendapat segala-galanya atas keringat orang lain, maka dikunyah-kunyah dan dimuntahkan kembali di pentas pertandingan. Sepanjang pertandingan itu, saya melihat pasukan UIAM membawa sekurang-kurangnya satu bas pasukan penyokong (yang biasanya akan bertugas mencari fakta). Anda tentu boleh bayangkan satu bas pencari fakta yang membantu anda, yang kekuatannya sama dengan membawa satu bangunan perpustakaan UIAM ke Universiti Sains Malaysia. Jika anda masih tewas di peringkat suku akhir, sudah tentu anda adalah pendebat yang paling tidak berguna.

Satu perkara lagi yang memberikan kelebihan kepada pasukan UIAM ialah, tentang peranan Penasihatnya atau Pegawai Pengiringnya, yang tiba-tiba bertindak sebagai urusetia atau ketua teknikal hakim, dan dengan itu mengambil tugas Jabatan Alam Sekitar dan tuan rumah. Pelik bukan? Walau pun mereka boleh mendakwa peranan itu “terpaksa” dibuat atas kapasiti Ketua Jawatankuasa Teknikal MADUM, tetapi terdetik di hati saya apa kurangnya dengan En. Nozru Ismail, pegawai dan tuanrumah kepada pertandingan tersebut. En. Nozru Bin Ismail juga adalah Hakim Kelas Tertinggi MADUM, dan merupakan seorang yang cukup berpengalaman dalam penghakiman dan pengendalian Debat Ala Parlimen, apatah lagi Debat Alam Sekitar. Untuk rekod, format pertandingan Debat Alam Sekitar yang mengandungi debat terbuka ini adalah hasil ilham dan kreativiti En. Nozru Bin Ismail, sejak tahun 1995. Selalunya dalam debat yang dianjurkan oleh sponsor utama seperti Jabatan Alam Sekitar, Arkib Negara atau lain-lain, urusetia yang mengelolakan pertandingan adalah pegawai Jabatan tersebut dan pegawai universiti Tuan Rumah. Kalau dianjurkan di UPM, mungkin En. Mohd Nazri Noh atau Zalirizal. Jika kita terbang ke Sabah, mungkin En. Latif Lai. Jika kita ke Sintok, sudah tentu En. Fuad Othman atau Ahmad Fairuz. Begitulah halnya jika kita ke Selatan, Skudai, sudah tentu En. Fauzi Othman (sekadar menyebut beberapa nama). Bahkan, inilah tradisi pengajuran debat sebelum ini. Anda mungkin tertanya-tanya apa yang saya cuba sampaikan? Saya tidak ingin menyampaikan apa-apa, cuma ingin meletakkan satu “ketidakbiasaan” yang berlaku pada penganjuran Debat Alam Sekitar pada tahun ini. Anda mungkin terlupa bahawa seseorang ketua teknikal hakim mempunyai peranan yang besar untuk menentukan kedudukan hakim, sekurang-kurangnya hakim-hakim yang disusun untuk menghakimi pertandingan yang melibatkan universitinya sendiri, adalah hakim-hakim yang mungkin “favour” atau condong atau hormat atau sekurang-kurangnya “malu” untuk mengalahkan pasukannya! Saya tidak berhajat untuk membentangkan teori konspirasi, tetapi saya hanya mendedahkan suatu hakikat yang tidak sepatutnya berlaku dengan mengambil kira tradisi penganjuran sesebuah pertandingan. Saya berharap supaya simptom-simptom yang mencurigakan ini boleh dihapuskan, sekurang-kurangnya saya tidak perlu menulis untuk membentangkan fakta ini. Saya pasti Jabatan Alam Sekitar telah menjalankan peranannya dengan tulus ikhlas dan seadil yang mungkin, bagi memartabatkan mutu perdebatan alam sekitar di Malaysia. Sudah pasti Jabatan Alam sekitar tidak kisah sesiapa pun yang mengendalikan teknikal hakim, asalkan dapat membantu kelancaran pertandingan tahunan ini. Bagi Jabatan Alam Sekitar, tentunya jika tuanrumah dapat menjalankan peranan itu adalah lebih baik, tetapi jika ada yang terhegeh-hegeh mendesak dan meminta mengendalikan teknikal hakim kononnya berdasarkan pengalamannya yang lalu, atau atas kapasitinya selaku ahli jawatankuasa teknikal MADUM, atau kerana beliau adalah “Hakim Kelas Tertinggi” MADUM, apalah yang boleh mereka lakukannya. Barangkali juga Jabatan Alam Sekitar terkesima dengan permintaan “hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong”. Seminggu menjelang pertandingan, pada 24-7-2006, pasukan UIAM telah mengadakan “demonstrasi debat” di bengkel hakim, di Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya, yang kononnya untuk membantu hakim-hakim memahami tentang cara dan kaedah untuk menghakimi sesebuah pertandingan. Bunyinya tiadalah apa-apa yang pelik! Dan sememangnya tiada sesuatu yang memelikkan dengan “demo debat” itu. Tetapi bukankah itu satu kelebihan kepada pasukan UIAM, yang telah melalui sesi “bertaaruf” atau suaikenal dengan hakim-hakim, sedangkan pasukan lain tidak mendapat peluang yang sama.  Dalam sistem kehakiman di mana-mana pun di dunia ini, pihak-pihak yang bertelagah di mahkamah, tidak wajar menemui seseorang hakim secara sebelah pihak (tanpa kehadiran pihak penentang), walau pun pada pertemuan itu tiada apa-apa perbincangan tentang kes yang sedang berjalan, atau sekadar minum kopi, atau sekadar sembang kosong, atau sekadar membantu hakim atas apa-apa jua subjek, apatah lagi mengadakan “demo” dengan tujuan dan niat “mengajar” hakim tentang bagaimana nak menjadi “hakim”. Bertemu dan mendekati hakim secara pintu belakang ini, adalah amalan yang amat tidak beretika dan perlu dihapuskan. Jika kita mendadik dada bahawa kita adalah pasukan juara, bersandarkan merit, amalan-amalan mendapatkan “favour” secara tidak langsung ini wajar dijauhi. Terkadang, kita menjadi tunggangan tanpa kita sedari!

Saya berharap dunia debat akan lebih telus di hari mendatang, dan dengan itu kita dapat menyediakan padang yang sama rata untuk semua pendebat. Saya percaya, dunia debat akan lebih bermutu jika semua pasukan mempunyai kekuatan yang hampir sama. Sesebuah pasukan tidak akan menjadi kuat, dan debat akan jauh dari mencapai mutu yang tinggi, sekiranya kekuatan perdebatan hanya berkisar pada putaran pasukan yang sama. Oleh itu, penilaian, kritikan atau apa-apa jua pandangan tentang sesebuah pasukan hendaklah diambil secara bijak, supaya kita dapat belajar dari kelemahan sesebuah pasukan yang lain, untuk memperbaiki diri. Atau sekurang-kurang untuk dijadikan sempadan…!

Nota:  Artikel saya berkenaan dengan UIAM Dijangka Gagal Pertahankan Kejuaraan telah dijawab oleh Mohd Daud Mat Din melalui Blog Friendsternya yang disiarkan pada petang Jumaat, 28-7-2006, tetapi telah ditarik balik sehari kemudian. Oleh kerana Daud nampak ragu-ragu dengan pendirianya sendiri, atau mungkin merasa diri diperalatkan dan lantas menarikbalik artikel tersebut, saya tidak berhajat untuk membuat komen lanjut melalui laman akademidebat.com ini. Cuma saya ingin menyatakan sesiapa juga yang tidak berpuashati dengan kritikan dan pandangan saya atau akademidebat.com, anda boleh menghantar artikel jawapan ke webmaster@akademidebat.com dan akan disiarkan tanpa disunting, melainkan jika mengandungi unsur-unsur yang tidak sepatutnya. Hanya penulis yang berani menggunakan nama sebenar sahaja akan dilayan.

#        Penulis adalah Bekas Ketua Jurulatih pasukan debat UIAM 2000 – 2005.

 

 

Laman utama | Profil | Produk | Makalah | Tinta Emas | Buletin | Galeri | Arkib | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian